Solidariti untuk Rafizi Ramli

Lim Hong Siang
Banyak yang diperkatakan tentang susuk tubuh bernama Rafizi Ramli ini. Banyak yang negatif, bertentangan dengan imej positifnya yang ditampilkan di khalayak terbuka. Populariti Rafizi agak tinggi, dalam kalangan masyarakat yang mendahagakan politik baru. Apa tidaknya, Rafizi terkenal sebagai pembongkar skandal rasuah. Kepintarannya berjinak-jinak dengan angka begitu mengkagumkan. Debat “Rafizi Ramli vs Khairy Jamaluddin” dalam isu PTPTN kekal sebagai perbahasan politik yang paling berkualiti dalam tempoh dua dekad kebelakangan, menyaksikan keupayaan yang agak setara dari kedua-dua pihak. Sudah tentu kelebihan menguasai perangkaan memihak kepada Khairy Jamaluddin, yang sekian lama ini berada dalam sistem kerajaan. Namun Rafizi memiliki daya tarikan tersendiri dengan kepetahannya berhujah sebagai pembangkang dalam soal dasar. Di luar pentas perbahasan, keberanian Rafizi keluar masuk lokap, naik turun mahkamah – melonjakkan dirinya pada kedudukan moral yang lebih tinggi. Rafizi mengotakan janji politiknya, mengisytiharkan harta sebagai langkah untuk membuktikan tekadnya memperjuangkan ketelusan. Langkah menterjemahkan idealisme kepada aksi politik ini membantunya untuk mengolah sokongan masyarakat massa. Bakat dan potensi Rafizi begitu terserlah, dalam kalangan generasinya, malah juga generasi yang lebih tua daripadanya. Ringkasnya, Rafizi adalah bintang politik pada masa depan yang sedang bersinar sekarang. Rafizi RamliBagaimanapun, “penonjolan” boleh berlaku dalam dua keadaan, sama ada bakatnya tertonjol mahupun beliau terlalu menonjolkan dirinya; atau, kedua-duanya sekali. Tiada kewajaran untuk kita menyekat penyerlahan potensi Rafizi. Mereka yang tidak senang dengan sinaran bakatnya terpaksa bersaing dengannya, dengan keupayaan sendiri. Dari perspektif anak muda seperti Rafizi, sudah tentu beliau tidak sudi untuk memperlahankan langkah dirinya semata-mata untuk menunggu mereka yang berdolak-dalik dengan politik baru. Apapun, perubahan tidak berlaku tanpa sokongan akar umbi. Pengaruh dan kesan politik hanya berganda apabila ia bergolek dalam momentum satu pasukan. Suka atau tidak, semangat berpasukan itu penting, lebih-lebih lagi dalam konteks politik di mana pembangkang bertembung dengan pemerintah yang mengerah segala jentera negara untuk mempertahankan kuasanya. Mustahil regim Umno-BN boleh dijatuhkan dengan kekuatan seorang individu, mahupun sekumpulan individu yang bergerak secara berasingan, apatah lagi bermusuhan sesama diri. Dalam bab ini, beberapa langkah Rafizi boleh dipertikai, misalnya membocorkan perbincangan mesyuarat dalaman parti. Ia bukan soal disiplin semata-mata, tetapi perbincangan tertutup selalunya untuk menerokai pelbagai kemungkinan. Andainya kandungannya terdedah kepada umum, maka mereka yang terlibat dalam perbincangan akan semakin berhati-hati dan memilih jalan yang “selamat” dari kaca mata umum, atau “populis” namanya. Sudah pasti ia membataskan pilihan yang ada. Perbalahan dalaman PKR antara Rafizi dengan Azmin Ali sudah menjadi rahsia terbuka. Ia meletakkan ramai penyokong Reformasi dalam dilema. Dari persepsi umum, Azmin mungkin tidak sepopular Rafizi, tetapi rakan seperjuangan dalam parti memiliki pandangan sebaliknya. Dari strateginya, keringat kedua-dua susuk ini diperlukan, bukan sahaja PKR, tetapi juga gerakan pembangkang tanahair. Ia gandingan mantap seandainya kedua-dua mereka menumpukan seluruh tenaga untuk menyerang Umno-Barisan Nasional, daripada siku-menyiku sesama diri. Mustahil mereka tidak sedar, bahawa perselisihan sedemikian jikalau tidak diketepikan, hanya menguntungkan musuh mereka. Umno sedang mengatur segala muslihat untuk menjatuhkan kerajaan negeri Selangor pimpinan Azmin Ali, dan tidak akan berhenti untuk menghalang kemaraan Rafizi Ramli. Rafizi akan disabit kesalahan demi kesalahan untuk membisukannya daripada pendedahan skandal rasuah Umno-BN, di samping Azmin akan diheret dengan skandal demi skandal yang dilemparkan adiknya Azwan Ali terhadap dirinya. Dalam konteks ini, solidariti semua pimpinan pembangkang termasuk Azmin Ali penting ketika Rafizi Ramli dijatuhkan hukuman penjara 30 bulan di bawah Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan (BAFIA). Apapun yang diperkatakan tentang Rafizi Ramli, beliau berada di pihak yang benar untuk mendedahkan skandal NFC (National Feedlot Corporation). Apapun akta yang digunakan untuk menyabitnya, hakikatnya pembongkaran sedemikian memberi amaran kepada pemerintah bahawa tindak-tanduk mereka sentiasa di bawah pemantauan pembangkang dan rakyat. Kes ini menguji kematangan kita berpolitik. Tidak kurang juga pandangan yang bernada “padan muka Rafizi” kerana “undang-undang tetap undang-undang”. Jikalau itulah logiknya, maka tiada skandal akan terdedah kerana Akta Rahsia Rasmi (OSA) sentiasa menjadi pelindung kepada perasuah. Seringkali “whistle-blower” dituduh memfitnah, kemudian dicabar untuk mengemukakan bukti; tetapi apabila bukti dikemukakan, kepala pembongkar rasuah dipancung pula dengan OSA. Ini bukan zaman terbaik untuk kita bersikap sinikal. Sedangkan bumi mana tidak ditimpa hujan, politikus mana yang tidak melakukan kesilapan? Yang penting, solidariti harus menyebelahi pihak yang menegakkan kebenaran. Politiking partisan yang sempit, dan sindiran yang sinikal, tidak terdaya untuk menumbangkan kebatilan dan kejahatan yang tersergam untuk lebih setengah abad. Sumber: Akhbar Amanah, Edisi 90 (18-24 Februari 2018), m.s. 5
0 Shares