Ide dan konsep Muslim Demokrat

Dr Mujahid
Muslim Demokrat sebagai nama adalah merujuk kepada seorang ahli politik Islam yang memilih untuk berada dalam acuan demokrasi bagi memperjuangkan idealisme perjuangan berpandukan kepada keadilan dan kesaksamaan. Sebagai muslim, keberadaannya dalam acuan demokrasi dilatari dari sejarah dan budaya serta ketamadunan Islam yang telah berakar umbi dalam pembentukan dirinya. Namun pemahaman kita kepada istilah Muslim Demokrat sebenarnya menuntut kita memahaminya dengan lebih mendalam apabila kita mula bertanya, apakah istimewanya seseorang perlu digelar Muslim Demokrat, apakah tidak cukup sekadar menyebut ‘demokrat’? Apakah ciri Muslim itu tidak sama dengan non-Muslim lain yang juga bergerak dalam acuan demokrasi? Soalan demikian akan memaksa kita mendalami dimanakah istilah ini bermula dan apa kaitannya dengan politikal Islam atau Islamisme yang dipakai oleh istilah barat terhadap kelompok Islam yang menerima proses demokrasi sebagai wahana perjuangannya. SEJARAH CHRISTIAN DEMOCRAT Sebenarnya, perkara yang sama dipakai untuk menamakan kelompok penganut Katolik dan Protestant yang menceburi bidang politik dan menjadi peserta kepada perkembangan politik di Eropah pada kurun ke-19. Keperluan menamakan kelompok agama yang terlibat dalam proses politik demokrasi adalah bagi menggambarkan sikap ahli politik yang kuat berpegang kepada tradisi nilai agamanya namun bersedia untuk melibatkan diri dalam proses politik. Ini berlatarbelakangkan bagaimana agama dan politik adalah dua ekstrem yang berbeza, malah gereja pada awal kurun ke-19 dan sebelumnya bertembung dengan kebangkitan ide liberal dan sekular yang menurut gereja menghakis nilai-nilai tradisi agama. Keterlibatan kelompok penganut kuat agama Kristian dalam proses demokrasi merupakan satu keunikan dari segi pembentukan ideologi politik mereka. Mereka mempunyai sikap tersendiri tentang ide-ide liberal dalam isu-isu sosial, ekonomi dan hak rakyat yang amat berpengaruh pada zaman itu. Bagi membezakan fahaman mereka terhadap falsafah liberal sekular yang menjadi acuan penting Eropah ketika itu, mereka diberikan satu gelaran sebagai Christian Democrat yang kemudiannya menjadi arus parti politik yang berpengaruh di Eropah dan Latin Amerika hingga hari ini. Apabila kita melihat kepada istilah Muslim Demokrat hari ini, apakah latarbelakang ini juga terpakai kepada kelompok muslim yang terlibat dalam proses politik demokrasi? Walaupun penamaan kepada kelompok muslim terlibat dalam proses demokrasi boleh dikatakan sama latarnya dengan penglibatan kelompok Kristian, namun bezanya adalah naratif dunia Islam berbeza dari sudut Islam, tidak pernah memusuhi proses politik atau sebaliknya malah tidak ada pertembungan antara politik dan agama. Jikalau begitu mengapa masih perlu menamakan seseorang itu sebagai Muslim Demokrat? NARATIF ISLAM DAN DEMOKRASI Sejak kejatuhan Khilafah pada tahun 1924, keperluan menerima kenyataan bahawa negara bangsa adalah sistem politik yang terpakai meletakkan umat Islam dalam keadaan terkeliru apatah lagi kebangkitan pemikiran politik Barat menguasai dan melebar ke negara-negara Islam. Realiti ini mula disedari oleh Jamaludin Al Afghani (1838-1897) dengan melihat kebangkitan Barat dan kelemahan Institusi khilafah. Beliau merangkul ide menerima realiti tetapi pada waktu yang sama tidak menghakiskan nilai dan tradisi Islam. Beliau dianggap sebagai modernis yang merangkul fahaman Pan-Islamism. Pemikiran ini disambung oleh pengkagumnya dari Mesir iaitu Syeikh Mohammad Abduh (1849-1905) yang melanjutkan perbahasan dalam kerangka pemikiran politik moden dan mengkagumi prinsip keadilan politik Barat dan budayanya. Ini bukan bermakna beliau meninggalkan tradisi Islam malah menganggap kejayaan Barat adalah kerana berpegang kepada prinsip Islam yang telah ditinggalkan oleh dunia Islam justeru negara Islam berada dalam kemunduran. Syeikh Rashid Ridha (1865-1935) adalah sambungan ide rangkaian perkembangan politik Islam apabila buat pertama kalinya memperkenalkan istilah Daulah Islamiyah (Negara Islam) sebagai kompromi kepada kehilangan Khilafah di mana beliau menyeru kepada asas-asas negara moden yang demokratik berasaskan fahamannya terhadap Syura yang dianjurkan oleh Syariah. Pemikiran awal tentang demokrasi dan proses politik dalam kerangka sebuah negara bangsa di era pemodenan banyak membentuk ide-ide politik Islam dalam kerangka demokrasi sehingga lahirnya perjuangan lebih bersifat sebuah pergerakan revivalis yang diasaskan oleh Imam Hasan Al Banna (1906-1949) dikenali sebagai Ikhwan al Muslimin (1928). Ikhwan adalah lambang Islamism yang menggagaskan perancangan jangka panjang dalam usaha mengembalikan kegemilangan Islam (Ustaziah Alam). PERTEMBUNGAN IDE POLITIK ISLAM Walaupun politik Islam dilihat sebagai satu kuasa yang cuba bersaing secara demokrasi dengan parti-parti Liberal-Sekular di kalangan Muslim yang lainnya, kelompok Islam sering ditanggap sebagai kelompok yang tidak boleh dipercayai kerana kelompok Liberal-Sekular mendakwa politik Islam hanya menggunakan demokrasi dan apabila menang akan menegakkan negara Islam dengan melaksanakan hukum syariat. Golongan liberal-sekular amat menentang perjuangan ‘menegakkan syariat’ kerana menganggap bercanggah dengan hasrat negara yang demokratik. Pertembungan ini menyebabkan golongan kelompok politik Islam senantiasa dipandang serong sehingga usaha mendaftarkan parti politik berlatarkan Islam menjadi satu kesukaran walaupun mereka komited dengan proses demokrasi untuk membawa Islam melalui perjuangan politik. Suasana ini menyebabkan ahli politik Islam terpaksa menyegarkan identitinya kepada meyakinkan semua pihak bahawa mereka benar-benar mahukan sebuah negara yang demokratik dan menentang sebarang bentuk kaedah yang bercanggah dengan proses politik. Proses ini memakan masa yang panjang dan diburukkan lagi dengan kelahiran pemimpin dunia Islam yang mengamalkan pemerintahan diktator seperti di Mesir, Syria, Iraq, Libya, Tunisia, Sudan dan pemerintahan raja mutlak di negara-negara Teluk, kecuali Indonesia dan Malaysia yang dilihat mengamalkan demokrasi terpimpin. ISLAMISM ABAD KE-20 Pengaruh Ikhwan Muslimin amat besar di dunia Arab khasnya dan dunia Islam umumnya. Politik adalah sebahagian dari ‘worldview’ perjuangan mereka yang pada hakikatnya terbina atas ‘mengembalikan kegemilangan khilafah’ sebagai kemuncaknya. Idealism ini dijadikan sebagai doktrin di kalangan ahli melalui pembacaan mereka tentang kegemilangan sejarah Islam. Politik adalah wasilah dan keutamaannya adalah untuk berdakwah dan mendidik (tarbiyah) ahlinya dengan semangat pan-Islamism yang disebut sebagai watanul Islam (Soil of Islam) merentasi dari benua ke benua dan dari lautan ke lautan. Pan-Islamism Ikhwan kadangkala tidak banyak memberi pilihan kepada realiti setempat dan proses politik yang rencam di kalangan pengikutnya di negara Arab. Obses menghafal dan menghayati idealism dan gagasan besar universalism Islam kadang kala menyebabkan para aktivisnya di bawah menjadi kaku menyesuaikan realiti setempat. Apakah mereka ahli politik lokal ataukah pendakwah global yang tidak berpijak di bumi nyata? ataukah mereka hanya berfantasi dengan kegemilangan silam lalu terus hilang dalam arus realiti politik, sosial dan ekonomi di tempat mereka beroperasi? Ataukah mereka akan tetap dilabel sebagai kelompok yang bermusuh dengan sistem yang terpakai kerana menyeru kepada kerangka negara yang berbeza sama sekali, lalu dicurigai sebagai antiestablishment? Persoalan ini hakikatnya adalah realiti yang mendorong kepada menyegarkan semula pemikiran politik Islam antara gagasan ideal dan realiti setempat yang perlu diseimbangkan dengan mengambil faktor pengaruh Ikhwan kepada kelahiran politikal Islam. Revolusi Islam Iran dalam dunia politik Syiah dianggap sebagai kayu pengukur kepada kejayaaan membentuk sebuah negara moden yang berideologikan agama. Namun pengkritik Revolusi Islam Iran menganggap kuasa agama sebagai pemangkin retorik revolusi akhirnya terpaksa mengalah kepada realiti ekonomi dan politik sehingga mereka terpaksa bercakap dan membuat dasar-dasar yang prorakyat yang mahu melihat keperluan mereka tidak akan dipenuhi dengan sekadar retorik keagamaan. Asif Bayat menamakan fenomena ini sebagai post-Islamism iaitu perpindahan dari pakej retorik eksklusiviti, universalism, kebenaran mutlak kepada inklusiviti, hak kerakyatan dan kepelbagaian. Ia bukan sesuatu yang negatif menamatkan kebangkitan Islam tetapi ia adalah berpijak kepada realiti negara yang akhirnya menentukan keperluan-keperluan semasa rakyat. POLITIKAL ISLAM Jikalau Islamisme adalah istilah yang terlalu besar menggambarkan kemunculan Islam sebagai kebangkitan di abad ke-20, istilah ‘politikal Islam’ adalah lebih mudah untuk difahami sebagai satu konotasi kepada penglibatan politik golongan Islami dalam proses pilihan raya. Pengalaman FIS (Islamic Salvation Front) pada awal 90-an memenangi pilihan raya tempatan dibatalkan atas alasan ia adalah kemenangan kelompok yang akan membahayakan regim. Walaupun pembatalan itu bukan salah FIS, tetapi isu skeptikal kepada kemenangan kelompok Islam yang bergerak dalam proses pilihan raya secara demokratik semakin menebal sehingga kekecewaan sebahagian kelompok Islami mendorong mereka mengangkat senjata sebagai menentang regim sedia ada. Oliver Roy seorang penulis dari Perancis menamakan fenomena ini sebagai ‘kegagalan politikal Islam’. Sama ada telahannya betul atau tidak, isunya adalah kesegaran pemikiran kepada penglibatan politik Islam amat diperlukan bagi menangkis sikap skeptikal golongan sekularis terhadap kelompok Islam. Arab Spring menjanjikan berakhirnya pemerintahan diktator seperti Mubarak, Ghadafi, Zeinal Abidin dan Hafez Al Assad. Merekalah para aktor politik yang menentang keras proses demokrasi berjalan dengan sempurna demi mahu kekal di persada kuasa. Kebangkitan rakyat ramai mendorong golongan Islamis mengambil bahagian malah menjadi pemangkin kepada kejayaan menumbangkan regim diktator negara Arab. Namun kemenangan mereka gagal menunjukkan contoh pemerintahan yang menjadi inspirasi nasional dan diterima oleh semua pihak sehingga membawa kepada kegagalan. Ia bukan semuanya kesalahan golongan Islami yang gagal memenuhi hasrat rakyat terbanyak, sebahagiannya adalah campur tangan tentera yang masih berkuasa penuh ke atas perjalanan politik negara seperti di Mesir dan Syria. Morsi digulingkan setelah menang secara demokrasi, kebangkitan di Syria dibalas dengan peluru dan ugutan bersistematik regim. Kecuali di Tunisia, pimpinan Rachid Ghanoushi, kelompok politik Islam dilihat lebih komited terhadap prinsip demokrasi pemerintahan dan sikap keterbukaan kepada golongan sekularis dalam membentuk kerajaan rakyat. Morsi selain faktor konspirasi tentera, beliau dikatakan gagal bersikap inklusif terhadap golongan liberal sekular lalu mengukuhkan lagi pesimisme terhadap kelompok Islamis. POLITIKAL ISLAM KE MUSLIM DEMOKRAT Ada beberapa faktor yang melahirkan istilah Muslim Demokrat dari naratif panjang yang dihuraikan di atas. 1. Keperluan meyakinkan golongan yang skeptikal terhadap penglibatan kelompok Islam dalam proses politik negara justeru penjenamaan semula dalam komitmen dengan istilah Muslim Demokrat. 2. Dari sudut evolusi pemikiran politik Islam, nama Muslim Demokrat adalah perpindahan dari gagasan besar universalisme perjuangan Islam kepada keperluan politik lokal di mana golongan Islami beroperasi. Menasionalkan perjuangan Islam dengan membumikan dasar-dasar keadilan sosial, hak asasi dan pemulihan demokrasi berterusan adalah ciri utama Muslim Demokrat. 3. Muslim Demokrat adalah fasa yang memisahkan retorik perjuangan dengan realiti semasa yang telah berjaya menghapuskan pemimpin diktator dan kini adalah waktu mengisi dan membina semula negara dengan pendekatan rekonsiliasi dan konsultasi. 4. Muslim Demokrat adalah pemisahan dengan politikal Islam yang dikaitkan dengan aktiviti dakwah dan tarbiyah kepada tumpuan sepenuhnya kepada politik dan pembinaan negara. Ini bukan bermakna ia menolak dakwah dan tarbiyah tetapi keperluan itu boleh dilakukan oleh entiti lain agar tidak dikelirukan dengan keutamaan Muslim Demokrat. 5. Muslim Demokrat adalah konotasi kepada solusi praktikal kepada permasalahan negara seperti rasuah, kemiskinan, bebanan kehidupan rakyat dan hak asasi manusia lewat dasar-dasar yang progresif dan inklusif berbeza dengan ciri sebelumnya yang eksklusif dan beretorik silam. 6. Muslim Demokrat tidak meninggalkan Islam tetapi ia mengambil Islam sebagai sumber ketamadunan dan budaya serta nilai yang kaya cuba diadaptasikan dengan realiti dan bingkai kenegaraan yang ada. 7. Pemikiran Muslim Demokrat terhadap perlaksanaan syariah diletakkan dalam kerangka berfikir secara Maqasid Syariah dengan melihat tujuan utama Syariah sebagai keutamaannya daripada melihat kepada sekadar menjalankan hukuman mengikut syariah. 8. Muslim Demokrat tidak melihat demokrasi sebagai hanya wasilah tetapi menjadikan perjuangan pendemokrasian sebagai proses berterusan yang terbuka untuk dikritik oleh pemerintah dan masyarakat sivil. 9. Bentuk negara yang cuba dibentuk bukan bersifat formatif tetapi substantif kepada prinsip keadilan, kesaksamaan, kemanusiaan dan keterbukaan pemerintahan yang lebih hampir kepada sebuah negara sivil atau madani. 10. Keperluan Islam dalam perundangan negara dilihat dalam bentuknya yang holistik dan terangkum dalam semua undang-undang dari sudut prinsip hukum yang mengekalkan keadilan semulajadi. Muslim Demokrat tidak melihat perundangan Islam hanya kepada akta tertentu dan kalaupun ia khusus kepada keperluan Islam dalam muamalat, ia tetap perlu melalui proses legaslatif dengan akhirnya ditentukan oleh penerimaan atau penolakan secara demokratik. 11. Muslim Demokrat adalah komitmen kepada kepelbagaian, hak beragama dan memupuk kesepaduan antara agama dan kaum di bawah semangat kenegaraan yang satu. MUSLIM DEMOKRAT DI MEDAN OPERASI Ramai yang cuba menghuraikan atau menamakan dirinya Muslim Demokrat hanya dengan alasan mudah bahawa ia bergerak dalam kerangka demokrasi. Implikasi kepada pemikiran yang menentukan pergerakannya di medan kemungkinan tidak sama dengan dakwaannya sedangkan mereka masih terperangkap dengan ‘cara lama’. Saya menegaskan bahawa Muslim Demokrat bukan teori yang lahir dari sekadar berfikir atau mendakwa tetapi ia adalah produk interaksi politik di medan operasi yang panjang bermula dari sejarah pasca khilafah hingga ke hari ini. Evolusi pemikiran hasil tindak balas persekitaran dan keterlibatan mereka yang tidak mahu tunduk kepada kemaraan pemikiran Barat dengan meninggalkan Islam maka lahirlah keseimbangan, sinergi dan kesegaran ide untuk membuktikan Islam boleh kekal relevan sepanjang masa tanpa perlu menjadi apologetik. Di sinilah penjanaan intelektual dan daya ketajaman akal budi menjadi asas hujah dan perdebatan Islam kontemporari yang progresif dan inklusif. Berada di medan melahirkan keperluan-keperluan mendesak terhadap realiti yang akhirnya akan menentukan acuan apakah yang sesuai dan acuan manakah yang tidak sesuai. Semua budi bicara itu milik khusus pengamalnya dan tidak boleh ditentukan oleh sebarang model luar yang tidak ada kena mengena dengan realiti setempat. Ini bermakna pemikiran Muslim Demokrat terpaksa mencabar kadang-kadang apa yang dianggap sakral selama ini dan tabu untuk dibincangkan. Implikasi menjadi Muslim Demokrat ialah mengimbangi apa yang ditetapkan oleh teks dengan realiti kontekstual sehingga mampu kita membuat keputusan yang bijak. Muslim Demokrat senantiasa memahami bahawa realiti dunia bukan beredar di sekitar jawapan hitam putih tetapi apa yang di antara hitam dan putih itu. Ini termasuk mendefinisikan kontekstual tanpa hilang prinsip yang terkandung asal yang tidak boleh berubah. Kita sering difahamkan kerakyatan dalam Islam dibahagi atas garis Muslim dan Kafir. Kafir pula dikategorikan sebagai Dzimmi dan Harbi dengan segala hukum fiqahnya, tetapi kita lupa bahawa asasnya adalah tertegak kepada memberi keadilan dalam konteks ketika itu. Hari ini konteksnya berbeza dengan adanya realiti negara yang berasaskan hak kewarganegaraan tanpa dipisahkan atas garis agamanya. Hari ini konteksnya adalah negara berperlembagaan dan negara berdaulat yang tidak dipisahkan atas Wilayah Darul Islam dan Wilayah Darul Harb. Muslim Demokrat harus berani mendefinisikan konteks dan hukumnya berasaskan realiti semasa tanpa perlu berasa bersalah dan bergerak atas definisi itu secara konsisten. APAKAH KITA MUSLIM DEMOKRAT? Bab seterusnya dalam artikel ini adalah perkongsian kepada sedikit pengalaman politik dan proses politik di Malaysia yang saya sempat lalui setakat ini. Saya telahpun meyakini ide-ide Muslim Demokrat yang saya sebutkan di atas tanpa perlu membaca manual bagaimana mahu menjadi Muslim Demokrat. Memang ia bukan manual tetapi penghayatan, kefahaman kepada realiti dan tuntutan lokal yang saya imbangi dengan pembacaan saya kepada gagasan pemikiran besar Islamisme. Saya tidak mengambil semua fahaman saya secara pukal melainkan saya mengkritik sendiri fahaman saya melalui pengamatan dan pengabsahan dengan pendapat mereka yang lebih kredibel untuk saya membuat perbandingan. Apakah yang saya fikirkan itu benar atau salah? Saya pernah mengemukakan ide ‘menasionalkan Pas’ dalam buku ‘Menuju Pas Baru’ sebelum saya pernah membaca bahawa En Nahdah turut memperkenalkan ‘Tunification of En Nahdah’ (Tunification merujuk kepada menjadikan En Nahdah mewakili aspirasi rakyat Tunisia). Saya pernah mengemukan ide perpaduan nasional dengan menggerakkan dialog antara agama sebelum saya membaca bahawa rekonsiliasi nasional adalah antara keutamaan dan rahsia kejayaan Parti Keadilan dan Pembangunan (AK Party pimpinan Reccep Tayyib Erdogan) di Turki. Saya pernah menegaskan bahawa organisasi parti politik Islam tidak boleh dikuasai oleh golongan tertentu yang menafikan proses demokrasi dalaman parti sehingga kita hanya jadi pak turut. Tidak mungkin kita membawa demokrasi jikalau kita tidak menghayati demokrasi dalam parti sendiri. Saya meyakini semua itu sebelum mengetahui melalui interaksi saya dengan salah seorang pemimpin Justice Party di Maghribi yang berkongsi masalah yang sama dialaminya. Semua pengalaman ini membentuk satu kewajaran bahawa memikir-semula apa yang selama ini kita sangka tidak boleh dipertikaikan adalah satu keperluan dan dalam proses itu rumusan kita terhadap pandangan ini memandu kita di medan dalam tugasan politik kita. Muslim Demokrat bukan penghujungnya. Ia hanyalah tanda untuk kita berjalan dalam fasa panjang yang telah dilalui oleh pengamal sebelum ini. AMANAH bercita-cita untuk menjadikan model Malaysia boleh dipelajari sebagai model yang berjaya dalam suasana kepelbagaian agama dan kaum bagi membuktikan kejayaan politik Islam. Anda tidak akan menjadi Muslim Demokrat dengan hanya membaca artikel ini kerana ia bukan manual tetapi ia memberi gambaran, konsep dan ide kepada pembaca bagaimana bertindak kepada realiti semasa dan keperluan lokal tanpa perlu hilang prinsip-prinsip utama dalam politik Islam seperti keadilan dan kemanusiaan. Dr Mujahid Yusof ialah Naib Presiden AMANAH. Sumber: Akhbar Mingguan AMANAH Edisi 98 (15-21 April 2018), ms 22 & 28
223 Shares