Bagaimanakah kita meng‘upaya’kan rakyat?

Tekad Budaya - Dinsman
Januari lalu saya menulis mengenai pilihan Seniman Paksi Rakyat (PAKSI) untuk ‘mengupayakan’ rakyat, dan bukannya berpolitik merebut kuasa untuk menjadi penguasa yang mahu mengatur kehidupan rakyat dengan menggunakan kuasa politik berkenaan. Mengapa perlu mengupayakan rakyat? Kerana rakyat Malaysia kini pada umumnya adalah tidak berupaya. Kehidupan menjadi semakin susah dan tertekan; suasana keamanan, kedamaian dan kemakmuran semakin terhakis, namun tidak ada mana-mana pihak yang tahu dan sanggup melakukan sesuatu yang berkesan bagi mengatasinya, atau mengubahnya. Itulah keadaan rakyat yang tidak berupaya, atau tidak mempunyai keupayaan untuk menentukan keadaan hidup mereka sendiri. Kemuncaknya mereka terpaksa mengangkat semula pemimpin yang pernah mereka berjuang bertahun-tahun untuk menyingkirkannya, kini dia diangkat semula menjadi ketua bagi memimpin mereka ke arah perubahan yang lebih baik. Saya melihat itu adalah bukti ketidakupayaan rakyat Malaysia hari ini. Ketidakupayaan apa? Ketidakupayaan untuk bertindak bagi menyingkirkan faktor yang menyebabkan kehidupaan mereka menjadi susah dan tertekan serta kehilangan rasa aman damai dan makmur; atau ketidakupayaan untuk keluar dari situasi hidup yang susah dan tertekan itu. Mengapa terjadinya ketidakupayaaan itu? Jawapan saya sebagai pemerhati kehidupan masyarakat, (bukan sebagai pengkaji yang menggunakan metode dan teori-teori tertentu), ialah akibat daripada dasar-dasar pentadbiran Dr Mahathir sendiri, sewaktu beliau Perdana Menteri selama lebih 20 tahun itu. Rakyat diasuhnya menjadi materialistik, oportunistik dan tidak mempedulikan tanggungjawab sosial dan tanggungjawab agama. Yang memperlihatkan ada tanggungjawab agama pun kebanyakannya bersalut dengan sifat materialistik dan oportunistik juga. Akibatnya, rakyat hilang upaya dan daya untuk bertindak bagi kesejahteraan umat, bahkan rakyat hilang kepercayaan kepada ‘kuasa’ ke atas kehidupan mereka selain daripada kuasa politik yang berada di tangan penguasa politik pada masa itu. Lalu bagaimanakah mengatasinya? Atau bagaimanakah kita ‘mengupayakan’ semula rakyat? Mengupayakan rakyat (atau mengupayakan semula rakyat) bererti menghidupkan semula keupayaan yang sememangnya ada pada mereka sebelum ini. Mengupayakan semula rakyat bererti perlu berusaha ke arah mengurangkan sifat-sifat materialistik dan oportunistik yang telah tertanam sebati dalam jiwa kebanyakan mereka (hasil didikan dari dasar-dasar pemerintahan Dr Mahathir dulu itu). Apakah yang menghakis dan menghilangkan keupayaan rakyat? Yang menghakis dan menghilangkannya ialah kuasa politik yang digerakkan oleh penguasa yang sentiasa berusaha menambah kuasanya untuk mengupayakan dia menguasai negara dan rakyat keseluruhannya. Dan sekarang rakyat dikatakan hendak menabalkan semula penguasa itu. Tidakkah ini suatu ironi? Ya memang ia suatu ironi. Tetapi ironi atau tidak, kita nampaknya tidak ada pilihan lain lagi buat masa ini. Saya telah bincangkan hal ini sebelum ini. Dan sebagai seniman-budayawan yang menyedari tanggungjawab sosial, saya bersama Seniman Paksi Rakyat (PAKSI) sudah lama menggerakkan apa yang kami panggil ‘Tekad Budaya’, sebagai usaha ke arah ‘pengupayaan’ rakyat, melalui aktiviti-aktiviti seni-budaya yang menjunjung kemanusiaan dan kerakyatan.
Mahathir-Sabu
Dr Mahathir jika ditakdirkan menjadi perdana menteri sekali lagi, akan mempunyai
regu atau rakan dalam kabinet yang lebih kritikal, berintegriti dan bertanggungjawab.
Seperti saya tulis sebelum ini, gerakan Tekad Budaya memfokus lebih kepada rakyat, kepada umat, bukan kepada teraju kepemimpinan. Fokus Tekad Budaya lebih kepada nilai-nilai kehidupan rakyat, dan bukan kepada kuasa yang dikawal oleh sekelompok orang politik. Tekad Budaya percaya bahawa aktiviti politik di Malaysia adalah berlebihan, dan itu tidak sihat untuk kehidupan rakyat. (Antaranya, kehilangan keupayaan untuk bertindak, seperti dibincangkan tadi). Maka itu kami memilih untuk memperbanyakkan aktiviti seni-budaya, bagi melahirkan keseimbangan kepada kehidupan yang keterlaluan berpolitik di kalangan masyarakat kita. Adapun aktiviti seni-budaya yang dimaksudkan dalam Tekad Budaya bukanlah semata-mata berpuisi, berteater, menyanyi, menari, melukis dan yang seumpama itu sahaja. Aktiviti seni budaya dalam Tekad Budaya merangkumi juga hal-hal keilmuan, keintelektualan, kemanusiaan, dan kewajaran berfikir. Bagi mengimbangi keaktifan orang-orang politik berpolitik berlebihan pula Tekad Budaya mensasarkan gerakan di kalangan kaum budayawan, intelektual, profesional dan seniman. Inilah empat golongan masyarakat yang dipercayai boleh menghidupkan usaha-usaha bagi mengupayakan semula masyarakat/ rakyat. Halangan utama pengupayaan rakyat ialah sikap materislistik dan oportunistik yang tidak mengenal tanggungjawab sosial dan tanggungjawab agama (yang bebas materialistik oportunistik). Melepasi halangan utama ini bukanlah suatu ikhtiar yang mudah. Ia adalah perkara abstrak yang sukar difahami; dan ia juga menyentuh soal sikap dan sifat manusia yang sukar untuk disedari dan sangat sukar untuk diubah. Pengalaman saya sendiri cuba menumpukan komitmen kepada gerakan Tekad Budaya telah bertembung dengan beberapa salah faham yang bukan sahaja timbul di kalangan orang politik, tetapi juga di kalangan seniman-budayawan sendiri. Dan inilah cabaran yang terbesar dalam ikhtiar mengupayakan rakyat. Fahaman bahawa politik itu faktor yang paling penting dan utama dalam kehidupan bermasyarakat, bahawa politik itu yang mempunyai kuasa untuk membuat perubahan dan menyelesaikan permasalahan manusia dan masyarakat, telah terlalu kuat mencengkam minda dan sebati dalam jiwa para seniman, budayawan dan intelektual kita. Maka dalam situasi-situasi tertentu apabila bertembung dua hal berkenaan – seni-budaya dan politik – pilihan tidak jarang diberikan kepada agenda politik. Oleh budayawan yang mengerti dan memperjuangkan Tekad Budaya sendiri pun. Apatah lagi oleh orang lain! Jadi, dapatlah dibayangkan betapa sukarnya cabaran-cabaran yang perlu diharungi oleh usaha usaha yang perlu dibuat bagi mengupayakan rakyat ini. Sumber: Akhbar Mingguan Amanah Edisi 97 (8-14 April 2018), ms 20  
21 Shares