Segera ubati kelesuan politik

Adam Adli
Kalau ada masalah yang membuntukan pergerakan politik perubahan hari ini, biarpun dengan segenap perkembangan yang sedang berlaku, adalah kelesuan masyarakat berhadapan dengan politik itu sendiri. Kelesuan ini adalah benar dan bukan lagi hanya tilikan politik. Kelesuan inilah yang bukan sahaja mematahkan semangat, malah menghabiskan sumber. Bukan sedikit jentera parti di bawah yang terpaksa mengeluarkan belanja setiap minggu untuk program, tanpa mendapat pulangan hasil. Ceramah kelompok yang ditemani bihun sup dan teh tarik pun tidak mahu disertai oleh masyarakat. Begitu juga dengan jentera kempen. Jangan nilai dengan kekuatan sumber Barisan Nasional. Barisan Nasional berupaya mengupah orang untuk memasang bendera di segenap sudut kampung dengan upah yang menarik. Pembangkang seperti Harapan sebaliknya hanya mengharapkan tenaga sukarelawan. Sebab itulah kita lihat, sehingga ke hari ini pun, bendera komponen Harapan masih tenggelam berbanding pihak lawan. Kita tiada orang ramai yang bersemangat untuk membantu seperti dahulu. Kita juga tiada walaun untuk menurut perintah. Acara-acara besar dan penting di Kuala Lumpur tidak lagi mampu menarik peserta dari kampung-kampung untuk turun ke bandar. Begitu banyak himpunan yang dianjurkan hanya untuk melihat dua tiga kerat peserta yang sama dari Lembah Klang datang mengambil gambar sepanduk dan pulang tanpa apa-apa hasil. Juru fikir politik yang berkampung di Lembah Klang pun ikut serabut memikirkan di mana pergi ribuan orang yang dahulu bersama. Tidaklah perlu kita terlalu panjang lebar membincangkan puncanya. Sudah ramai juga yang menggariskan bahawa kelesuan ini datang dari kekeliruan ke atas apa yang sedang berlaku dalam politik, di samping ketiadaan tawaran yang mengghairahkan daripada Harapan. Perang saraf yang dilancarkan Barisan Nasional pun tidak kurang hebatnya. Bagi mereka, rakyat yang meluat dengan politik tidak merugikan mereka, ia hanya merugikan pembangkang. Maka pelbagai isu bodoh ditimbulkan sehingga rakyat meluat dengan politik. Justeru apa yang boleh kita buat? Mengadu sahaja tidak cukup. Mungkin kita terlalu naif dengan kehendak masyarakat. Mungkin kita terlalu yakin dengan diri. Atau mungkin kita sendiri memang sedia gagal dalam merancang. Tidaklah terlalu sukar untuk faham cara menilai masyarakat ke atas kita. Mulakan dahulu dengan membaca apa sahaja yang diperkatakan mereka. Keluh kesah hatta tentang gigit nyamuk juga harus kita dengari. Jika kita tidak mengambil berat dengan permasalahan-permasalahan kecil ini, janganlah harap mereka pula akan mendengar kita berlabun tentang permasalahan besar di atas pentas ceramah. Begitu juga dengan sikap. Kita tidak boleh hipokrit ke atas apa yang kita perkatakan. Dalam lantang kita mengkritik kerajaan, masyarakat akan ikut menilai, apakah kita ini lebih baik daripada yang kita kritik itu. Sebab itulah, munculnya kiasan Pepsi dan Coke. Apabila mereka kian meluat dengan kerajaan, mereka akan ikut meluat dengan kita yang berperangai sama. Kita ada dua buah kerajaan yang boleh menjadi contoh. Andai kata dua buah kerajaan ini juga tidak kurang sama dengan apa yang ditawar dan dibuat oleh Barisan Nasional, maka janganlah kita menagih rakyat untuk percaya bahawa kita mampu membawa perubahan. Mereka lesu kerana mereka lama meletakkan harapan, dan ternyata harapan yang diletak itu tidak pula membuahkan hasil seperti yang dikehendaki. Dalam musim pilihan raya yang muncul dalam waktu-waktu terdesak sebegini, rakyat yang dihimpit kesempitan ekonomi dan kesukaran hidup pastilah seharusnya mudah menyatakan kebersamaan dengan kita, namun kelesuan mereka menghalang ia dari berlaku. Sebab itu, wajarlah kita mengubati kelesuan tersebut sebelum ianya terus mati dan rakyat baik siapa pun tidak lagi ambil perhatian ke atas kita. Adam Adli, Akhbar Mingguan Amanah Edisi 96 (1-7 April 2018), ms 21
10 Shares