Boleh saja terus waspadai Dr M

Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN –

Dua insan yang banyak memberi ilham dan membekal bahan untuk saya aktif menulis buku dan analisis politik ialah Dr Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim, khususnya mengenai pergolakan dalaman Umno. Baik semasa mereka berdua berpadu erat, mahupun ketika saling berkonfrontasi. Apabila kedua-duanya, tersingkir dan berundur daripada parti pemerintah dan kerajaan, bermula dengan Anwar pada 1998 dan Mahathir pada 2003, saya tidak lagi berminat untuk menulis tentang Umno.

Sebenarnya, ia bermula apabila menyaksikan tiada personaliti menarik yang ada dalam Umno, sejak Anwar dipenjarakan dan seterusnya memimpin barisan pembangkang. Umno hilang seri dan tarikannya. Timbalan Mahathir seterusnya, Abdullah Ahmad Badawi gagal memikat saya dan penganalisis politik lainnya, meskipun Pak Lah menang besar, dengan menguasai lebih 90 peratus jumlah kerusi Parlimen pada pilihan raya umum 2004, jauh mengatasi rekod Mahathir pada 1999.

Mahathir pula tiada regu yang sepadan selepas Umno kehilangan Anwar. Sebelum itu, pasangan ideal Mahathir, Musa Hitam juga beransur-ansur pupus daripada radar selepas berlaku konflik di antara mereka, pada 1986. Tengku Razaleigh Hamzah yang menjadi pencabar sengit Mahathir pada April 1987 untuk jawatan presiden Umno dan mengetuai oposisi pada PRU1990, pula membubarkan Semangat 46 pada 1996 dan menyertai semula Umno.

Buku politik pertama saya, Selepas Mahathir Peluang Pas, diterbitkan pada 1992, diedarkan pada muktamar parti itu di Kelantan, selepas Angkatan Perpaduan Ummah menang besar pada 1990. Saya cuba membayangkan senario politik tanahair masa depan sekiranya Mahathir berundur sebagai perdana menteri dan mengaitkannya dengan potensi Pas yang lebih cerah. Rupanya saya tersilau dalam membuat unjuran apabila Mahathir hanya berundur lebih 10 tahun kemudian dan Pas membina imej lebih baik semasa berdepan Mahathir pada 1999.

Bagaimanapun Mahathir terus menyuntik inspirasi sehingga saya menghasilkan beberapa judul yang mempunyai kaitan rapat dengan Mahathir; cukup dilihat pada tajuk, antaranya, Krisis Anwar-Mahathir, Mengapa Perlu Anwar Lawan Mahathir, Mahathir Khianati Melayu, Mufti Lawan Mahathir?, Menyanggah Fatwa-fatwa Mahathir, dan Bagaimana Mahathir Boleh Ditumbangkan. Sejumlah judul yang hampir sama juga – malah lebih rasanya – saya hasilkan buku atau makalah politik atas nama Anwar terutama di waktu Reformasi 1998 dan sekitarnya.

Insiden-insiden tertentu di awal pemerintahan Mahathir turut mendorong saya menghasilkan buku dan menyusun makalah politik. Selepas 3 Tahun Memali, BN Bertaubat? Merujuk tragedi berdarah di Baling 1985, manakala Demokrasi Zaman Mahathir mengulas penangkapan lebih 100 aktivis tanpa bicara di bawah Operasi Lalang ISA 1987, penggantungan tiga akhbar serta pindaan akta-akta yang sedia menundas, sementara Islam, Kehakiman dan Kediktatoran, saya susun bersama seorang rakan, Baharuddeen Abu Bakar, peguam dan pensyarah undang-undang, memperincikan kes pemecatan Tun Salleh Abas, Ketua Hakim Negara, dan krisis besar badan kehakiman, 1988.

Secara dekat, termasuk turun ke lapangan, saya mengambil kesempatan di atas kerjaya sebagai wartawan, untuk meninjau impak besar daripada aksi politik Mahathir. Beliau jelas bersikap keras dan tegas, yakin dengan keputusan yang telah dibuat dan tidak teragak-agak mengambil risiko yang sudah dihitung. Justeru, ada pihak melabelkannya sebagai seorang diktator, tapi melalui undang-undang. Berdepan konflik dan krisis, beliau berani menanganinya dengan gaya seorang Mahathir. Misalnya, ekoran pemilihan Umno pada April 1987, yang mempersoalkan kesahihan jawatan presiden yang disandangnya selepas menang tipis ke atas Tengku Razaleigh, Mahathir tidak sanggup menghadapi risiko kekalahan di mahkamah, maka parti itu dibiarkan haram di tangan hakim. Mahathir nekad membina semula parti baru demi mempastikan seteru dalam Umno tersingkir secara automatik. Menurut penganalisis, sejak bermula kes pengharaman Umno, pendekatan politik Mahathir, sudah tidak sama lagi. Berdepan kerenah raja-raja Melayu tertentu, dia sanggup jelajah seluruh negara memberi penjelasan terbuka mengapa Perlembagaan perlu dipinda bagi mengurangkan kuasa baginda.

Beliau juga tidak menunggu lama selepas bersara pada 2003; bingkas memberi reaksi terhadap kepimpinan penggantinya, Pak Lah, yang dilihat tidak mengotakan janji kepadanya, juga dianggap tunduk kepada negara jiran di seberang tambak. Ramai melihat Mahathir mahu terus mengawal penggantinya agar menurut kehendak dan aspirasinya.

Mengapa Mahathir?Di sebalik segala kontroversi yang timbul, semakin terserlah Mahathir tergolong dalam individu yang mempunyai strong personality, memiliki kekuatan tersendiri untuk meredah rimba belantara politik, dengan penuh yakin. Dalam perkataan lain, dia juga dikenali tokoh yang licik bagai belut, tangkas memanipulasi keadaan dan bijak menelah masa depan.

Saya mengikuti ucapan Mahathir dalam siri jelajahnya membelasah Pak Lah dan menantu, Khairy Jamaluddin, bermula di Taman Melawati, Alor Setar, Kota Bharu, dan Damansara. Walaupun nada dan intonasi ucapannya terkawal dan teratur, serta jarang sekali ditinggikan, namun bisanya jelas menikam. Ternyata keyakinan Mahathir terhadap dirinya sendiri begitu tinggi. Dan beliau akan tegak berdiri mempertahankan kepercayaan itu.

Biarpun saya agak teruja dengan kritikan keras Mahathir terhadap Pak Lah dan menganggapnya membawa manfaat buat pembangkang, tetapi saya juga turut bersimpati dengan Pak Lah. Bagi saya, Pak Lah orangnya baik, cuma tidak mempunyai kekuatan kepemimpinan, apatah lagi untuk membawa pembaharuan. Pentadbiran negara dilihat bagai pesawat tiada pemandu.

Lebih buruk, Pak Lah dianggap menyerahkan amanah kepemimpinan yang dipertanggungjawabkan kepadanya untuk diserahkan pula kepada pihak lain. Beliau nampak lebih jujur, mudah mesra, mahu membetulkan kesalahan di era Mahathir seperti isu kebebasan kehakiman dan meredakan kontroversi agama, tetapi keupayaannya terbatas. Beliau dilihat mudah tunduk kepada tekanan dan sentiasa mengelak daripada konfrontasi. Jauh berbeda dengan perwatakan Mahathir, yang suka dicabar. Lagi pula imej terlalu santai dan “sering tertidur”, cukup kontradik dengan penampilan Mahathir yang kuat bekerja, inovatif, berdisiplin tinggi, berwawasan jauh.

Cuma, ramai kaget dan terpinga-pinga apabila ungkapan kalimah lebih pedih dan terhiris dilemparkan kepada Najib dalam ceramah terbuka yang disiarkan live oleh FB. Istilah pencuri, perompak, penyangak, lanun berkumandang, disambut sorakan dan hilai tawa hadirin. Tidak pernah seorang perdana menteri dan isterinya diejek dengan gelaran cukup buruk. Tekad Mahathir untuk jatuhkan putera sulung mentor kesayangannya, Tun Razak, bukan rahsia lagi. Dia rela berkolaborasi dengan musuh-musuh ketatnya, seperti Lim Kit Siang, Guan Eng dan Mohamad Sabu. Ketiga-tiganya pernah disumbatkan ke dalam ISA semasa Mahathir perdana menteri dan menteri dalam negeri. Dia juga cuba berbaik-baik dengan pemimpin Pas, tetapi gagal mencapai persefahaman.

Pak Lah berjaya dijatuhkan selepas Mahathir menyediakan penggantinya, Najib Razak. Apabila Mahathir melemparkan kecaman bertalu-talu terhadap anak didiknya, Najib, saya kira tidak ramai yang kehairanan, malah menduganya sejak awal. Bagi mereka, itu adalah tabiat semulajadi Mahathir, tidak betah duduk diam sekadar menikmati hari persaraan menjelang usia satu kurun. Tindakannya keluar Umno juga tidak memeranjatkan memandangkan itu bukan kali pertama dia berbuat demikian.

Sesuatu yang tidak diduga apabila Mahathir sanggup berjumpa seteru paling ketat, Anwar Ibrahim di mahkamah, bagi menunjukkan sokongan terhadap bekas timbalannya itu, dalam menangani isu Akta Majlis Keselamatan Negara. Tanpa perlu memohon maaf secara terbuka, Mahathir semakin rapat dengan semua musuh-musuh Najib. Beliau juga tampil, walaupun tanpa diundang, dalam himpunan khas para reformis. Reformis merupakan golongan penyokong Anwar yang dibentuk secara tidak rasmi pada 1998 dan menjadi mangsa belasahan FRU dalam siri demonstrasi jalanan sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. Mahathir berani bersemuka dan memberi ucapan di hadapan kelompok yang pernah menjerit “Undur Mahathir!”

Begitulah sosok Mahathir ini. Digeruni tapi dihormati. Mampu berbuat sesuatu yang dianggap mustahil oleh orang lain. Justeru, beliau dilihat berkuasa menukar imaginasi kepada realiti seolah-olah mempunyai kuasa magis. Sedangkan dia juga insan biasa, banyak menempuh kegagalan, tidak berjaya memenuhi impian politiknya, tersalah memilih kumpulan pembantu dan regu pemerintahannya. Lihat sahaja usaha untuk membina masyarakat usahawan Melayu, mendidik anak bangsa agar berdisiplin serta membuang sifat malas, dan rancangan PPSMI yang kecundang sejak awal.

Tulisan ini merupakan sedutan daripada buku “Mengapa Mahathir?” Siapa berminat, hubungi Luqman 0192903291.

Sumber: Akhbar Mingguan Amanah Edisi 98 (15-21 April 2018), ms 20

 

16,167 total views, 39 views today

20 Shares