Rumah Rakyat: Antara janji dan realiti

Salman Saleh
Pengerusi BN Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir semasa melancarkan manifesto atau ‘Akujanji’ BN Negeri Perak yang ‘bocor’ pada 22 April 2013 sempena pilihan raya umum ke-13 (PRU 13), telah menjanjikan sekurang-kurangnya 35,000 buah Rumah Mampu Milik (RMM) akan dibina dalam tempoh lima tahun. Beliau juga menjanjikan untuk mewujudkan 50,000 peluang pekerjaan di Perak. Bagi menunjukkan prestasinya, Dr Zambry menjelaskan bahawa bermula 12 Mei 2009 hingga tarikh PRU13, sejumlah 55,000 peluang pekerjaan telah diwujudkan dengan 17,000 daripadanya adalah melalui Pusat Kerjaya Amanjaya (PeKA). Pecahan jumlah 35,000 unit RMM tersebut adalah berdasarkan ‘Akujanji’ ke arah setinggan sifar dengan 20,000 unit perumahan rakyat akan dibina kerajaan negeri manakala 15,000 RMM lagi akan dibina melalui Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dan Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA). Pada 16 April 2016, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak Datuk Rusnah Kassim mendakwa BN Perak sebenarnya sudah berjaya melepasi sasaran awal jumlah pembinaan rumah mampu milik termasuk rumah kos rendah. Sejak Jun 2013 hingga Mac 2016, sebanyak 3,552 unit rumah kos rendah telah dibina oleh SPNB, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIAMPk), Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR) dan Program Perumahan Rakyat (PPR). Di antara Jun 2013 hingga Januari 2016, Kerajaan Negeri Perak mendakwa telah membina rumah mampu milik, termasuk rumah kos rendah sebanyak 25,679 unit dan sedang membina 14,958 unit lagi yang dijangka siap pada tahun 2017. Paduka Seri Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ketika menyampaikan titah dalam majlis pengisytiharan Daerah Muallim sebagai daerah baharu pada 11 Januari 2016 telah membangkitkan isu harga rumah yang tinggi sehingga rakyat tidak mampu membelinya. Kerajaan Negeri Perak pada 6 Oktober 2016 telah melancarkan Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) yang berperanan untuk menjaga dan mengurus perumahan di negeri ini khususnya perumahan awam dan rumah mampu milik khususnya kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana. Semasa membentangkan Bajet 2018 Negeri Perak pada 22 November 2017, Dr Zambry memaklumkan RM62 juta telah diperuntukkan kepada LPHP iaitu untuk belanja pembangunan sebanyak RM56 juta dan belanja pengurusan sebanyak RM6 juta dengan memfokuskan kepada isu perumahan yang dilihat begitu genting. Yang lebih menarik, pada 15 Februari 2018, Bank Negara Malaysia telah menerbitkan laporan bertajuk “Rumah Mampu Milik: Cabaran Dan Penyelesaian” itu mengejutkan banyak pihak. Laporan itu menjelaskan harga rumah di Malaysia dikategorikan sebagai “sangat tidak mampu milik”, menyebabkan jumlah kediaman tidak terjual meningkat kepada 146,497 unit pada suku kedua 2017 dan di antara 2013 dan Oktober 2017. Hanya 255,341 RMM telah siap dibina. Dua perkara yang menarik di dalam ‘Akujanji’ BN Perak tersebut iaitu atas tajuk ‘Rumah Mampu Milik’ dan ‘Peluang Pekerjaan’ yang dilihat tidak seimbang. Dalam erti kata lain, jika seorang anak muda sudah mempunyai pekerjaan dan mendirikan rumah tangga, sudah tentu beliau juga inginkan rumahnya sendiri. Kini timbul persoalan, adakah berlaku lambakan rumah yang sudah siap dibina dan kenapakah rumah-rumah tersebut tidak dibeli selepas ianya dibina oleh kerajaan negeri khususnya atau pemaju hartanah di Perak? Kerajaan Negeri Perak wajar menjelaskan berapakah jumlah rumah yang telah dibina dan terjual sehingga kini. Sebagai contoh projek perumahan PR1MA dengan dua kategori yang telah dilaksanakan di Perak iaitu rumah teres sebanyak 5,630 unit dan apartmen sebanyak 2,335 unit dengan jumlah keseluruhannya sebanyak 7,965 unit. Persoalannya sudah berapa unitkah terjual ketika ini? Berdasarkan pecahan jumlah projek mengikut daerah, perumahan jenis teres yang dibina di Sitiawan berjumlah 1,268 unit, Bagan Serai (1,248 unit), Kamunting (525 unit), Sungai Raia (376 unit), Sungai Siput (957 unit), Kampar (609 unit) dan Tapah (647 unit). Pecahan projek jenis apartmen yang dibina pula ialah di Falim dengan 616 unit, Kampung Paloh (456 unit), Bandar Meru Raya (1,011 unit) dan Fair Park (252 unit). Berdasarkan penelitian yang dibuat, apartmen di Bandar Meru Raya sehingga kini hanya terjual sebanyak 10 peratus. Harga jualan yang tinggi menyebabkan rakyat kurang berminat dan tidak berkemampuan untuk membeli, begitulah juga yang terjadi kepada jualan rumah teres di sekitarnya. Jika peluang pekerjaan di Perak begitu tinggi pasarannya, sudah tentu juga pasaran perumahan akan lebih meningkat dan tidak mencukupi. Kerajaan Negeri Perak melalui LPHP perlu mengkaji kehendak pembeli sebelum sesuatu projek perumahan tersebut dilaksanakan dan ianya perlu sesuai dengan harga pasaran. Disebabkan lambakan rumah yang terlalu mahal walaupun RMM inilah antara punca ramai pihak di luar sana tidak berkemampuan membelinya. Selain itu, nilai mata wang kita yang jatuh serta gaji yang rendah menyebabkan kuasa beli rakyat rendah. Keseimbangan kehendak pembeli dan harga rumah yang berpatutan seperti mana titah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah perlu menjadi objektif utama LPHP kerana jika tiada pembeli bagaimana lambakan projek perumahan yang bagai ‘cendawan tumbuh selepas hujan’ boleh memanfaatkan rakyat? Penulis ialah Setiausaha AMANAH Negeri Perak. Sumber: Akhbar Amanah, Edisi 91 (25 Februari – 3 Mac 2018), ms 27
0 Shares