Ranapnya kampung warisan Melayu di Kuala Terengganu

Raja Bahrin Shah
Sempena sambutan Tahun Baru Cina, Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Ismail sekali lagi mengulangi hasrat Kerajaan Terengganu untuk menjadikan Kampung Cina sebagai Tapak Warisan Dunia di bawah Unesco. Sebelum ini permohonan tersebut telah ditolak oleh Unesco atas beberapa faktor tertentu termasuk pembangunan yang diluluskan oleh kerajaan yang tidak sesuai dengan status Bandar Warisan. Memang masyarakat Cina Kuala Terengganu patut dipuji atas usaha hebat dan kesungguhan menjaga warisan mereka. Apa yang menyedihkan adalah tidak seriusnya pihak kerajaan mengawal situasi bandar Kampung Cina dengan membenarkan pembangunan yang menjejaskan status bandar warisan ini termasuk meluluskan pembinaan bangunan lebih dari ketinggian asal sesuai dengan bangunan tradisi. Terbaru dipercayai kelulusan pembangunan berkepadatan tinggi di Pulau Warisan oleh pihak berkuasa bersebelahan Kampung Cina akan menjejaskan lagi bandar bersejarah ini. Bukan hanya ketinggian bangunan baru yang merosakkan suasana bandar warisan tetapi keadaan lalulintas yang lebih sesak akan menjejaskan bandar warisan ini. Ini menunjukkan tidak seriusnya Kerajaan memelihara Kampung Cina sebagai Bandar Warisan Sejarah Unesco. Bagaimanapun kejayaan Kampung Cina sebagai bandar warisan yang menjadi kebanggaan kaum Tionghoa Kuala Terengganu patut dipuji. Kampung Warisan Melayu Persoalan rakyat Terengganu pula, di manakah bandar atau kampung warisan Melayu Kuala Terengganu yang dahulunya wujud dengan meluas dan begitu membanggakan kita? Tiada kampung Melayu contoh di ibu negeri Terengganu yang penduduknya 95 peratus Melayu? Kampung Kolam telah lama hilang. Kampong Banggol dan Lorong Jamil pun telah dirobohkan. Begitu juga kampung bersebelahan Istana Maziah dan Dalam Kota. Yang paling sedih dan menyayat hati adalah kemusnahan Kampung Ladang dan Tanjong. Khususnya Kampung Ladang Tok Pelam yang mempunyai komuniti kraf tradisi asli pembuat tembaga, perak, emas, batik, songket, keris, kuih muih dan pelbagai lagi kraf warisan Melayu. Ini adalah warisan hidup (living heritage) yang wujud secara semula jadi di bumi Terengganu Darul Iman. Pemusnahan ini adalah ‘cultural genocide’ – kemusnahan budaya secara jenayah! Selalunya pemusnahan ini dilakukan oleh sesuatu kaum atau bangsa ke atas bangsa yang lain. Tetapi Terengganu amat unik dan luar biasa! Bangsa Melayu Terengganu sendiri meranapkan warisan nenek moyang kita demi mengejar ‘pembangunan moden’ yang tidak membawa erti atau nilai serta roh Melayu tempatan kita. Kita menggadai warisan dan roh tradisi bangsa sendiri dengan harga yang amat murah untuk ‘pembangunan moden’ yang pemimpin kerajaan hari ini mengatakan sebagai ‘kemajuan’! Nilai tradisi dan warisan kita telah dinodai dengan hebat semata-mata atas kepentingan kewangan. Negeri lain di Pantai Barat Malaysia cuba membina kampung kraf tradisi yang baru. Kita di Terengganu merobohkan kampung kraf asli semula jadi tanpa perasaan bersalah. Bandar Melaka yang majoriti penduduknya adalah bukan Melayu menyelamatkan perkampungan tradisi Melayu bernama Kampung Morten sebagai kampung tradisi contoh. Ianya wujud di tengah-tengah komuniti majoriti kaum Tionghoa. Tidakkah kita merasa sedih dan terhina wujud di tengah-tengah masyarakat majoriti Melayu Terengganu sambil melihat warisan dan roh budaya kita di musnahkan oleh bangsa sendiri yang tamak dan mabuk mengejar pembangunan dan kewangan semata-mata. Pemimpin kerajaan hari ini telah bankrap nilai moral warisan serta roh mencintai tradisi nenek moyang sendiri. Seorang penulis terkenal anak tempatan Ladang bernama Wan Hulaimi yang dikenali juga dengan nama Awang Goneng, telah menulis beberapa buku tentang kemusnahan dan hilangnya warisan Terengganu. Beliau pernah menyatakan kepada saya setiap kali beliau pulang ke Terengganu, semakin hancur hati beliau melihat ‘kemusnahan’ Terengganu. Malangnya kerajaan terlalu sibuk mengejar kemajuan dengan merobohkan kampung demi kampung daripada mendengar rintihan hati insan seperti Awang Goneng. Sebenarnya segala pembangunan ini untuk siapa? Wahai pemerintah, pernahkah kamu bertanya rakyat biasa di bawah adakah ini yang mereka kehendaki? Adakah pembangunan fizikal kebendaan yang kosong dari nilai tradisi dan roh warisan Melayu asli tempatan Terengganu yang kita kehendaki? Masyarakat bagaimanakah yang kita hendak wujudkan di Terengganu hari ini? Terengganu adalah pengeluar minyak terbesar Malaysia tetapi di antara negeri termiskin hari ini. Terengganu adalah negeri yang terkaya dengan seni budaya serta warisan Melayu seperti dikatakan oleh Tan Sri Mubin Sheppard pada dekad 1970-an dalam bukunya Taman Indera. Tetapi hari ini Terengganu adalah negeri yang begitu banyak dan cepat kehilangan peninggalan budaya serta warisannya. Terengganu kaya dengan pendapatan kewangan yang lumayan dari hasil minyak dan juga amat kaya dengan warisan budaya yang di anugerah Allah. Amat mendukacitakan apabila kerajaan kita amat lemah kecekapan mentadbir kekayaan kewangan negeri dan tidak mempunyai roh kesenian untuk memelihara warisan budaya kita di bumi Terengganu Darul Iman ini. Yang di kejar tak dapat, yang dikendong berciciran. Alangkah malangnya! Raja Bahrin Shah ialah Pengerusi AMANAH Terengganu dan Ahli Parlimen Kuala Terengganu. Sumber: Akhbar Amanah, Edisi 91 (25 Februari – 3 Mac 2018), ms 22
Gambar hiasan: Sebahagian daripada bandar Kuala Terengganu (Sumber: Wikimedia - https://commons.wikimedia.org/wiki/File:View_on_part_of_Kuala_Terengganu.jpg )
Gambar hiasan: Sebahagian daripada bandar Kuala Terengganu (Sumber: Wikimedia – https://commons.wikimedia.org/wiki/File:View_on_part_of_Kuala_Terengganu.jpg )
42 Shares