Rakyat bandar, luar bandar mahu perubahan
Dengan dekatnya hari mengundi PRU14 ini rakyat di mana-mana dari bandar hingga ke luar bandar, malah di kawasan Felda, sudah memperlihatkan dengan jelas mahukan perubahan.
Bermakna mereka menaruh harapan – gabungan pembangkang, Pakatan Harapan – akan memenangi PRU14 kali ini. Insya-Allah kata mereka.
Di pasar pagi, pasar malam, pasar minggu, kedai gunting, warung teh di pinggir jalan dan di mana-mana rakyat bercakap mengenangi PRU14 ini yang akan berlangsung pada 9 Mei depan,
suatu detik yang sangat dinantikan oleh rakyat. Di sinilah hendaknya demokrasi benar-benar berfungsi dan meriah, tidak akan ada hal-hal yang tidak diingini berlaku.
Hendaknya ia menjadi pesta demokrasi yang meriah. Kerana setiap rakyat yang mengundi berhak memilih siapa yang wajar mereka pilih.
Laporan dari Melaka, negeri penuh sejarah, sangat menarik. Ini kerana kesedaran rakyat di negeri Hang Tuah itu telah diperlihatkan termasuk di kawasan luar bandar.
Pengerusi AMANAH Melaka, Adly Zahari dilaporkan berkata, perkembangan mutakhir di negeri itu juga menyaksikan ramai pemimpin akar umbi Umno di kawasan kampung juga menyertai tsunami sokongan kepada Pakatan Harapan.
Beliau melawat Taboh Naning, Dun (Dewan Undangan Negeri) yang pengundinya paling kecil di Melaka sekitar 8,000 orang.
“Saya merasmikan penubuhan satu PDM (Pusat Daerah Mengundi) di Sungai Buloh. Yang datang sekitar 70 orang, 50 orang adalah orang tempatan, selebihnya orang luar Taboh Naning. Antara yang hadir ialah bekas ketua pemuda Umno cawangan dan bekas setiausaha Umno cawangan juga ahli jawatankuasa kampung,” katanya dalam Ceramah Pakatan Harapan di Bukit Baru kelmarin.
Sehubungan itu, beliau menyifatkan gelombang perubahan tsunami rakyat bukan saja berlaku di bandar dan pinggir bandar malah penduduk di kampung juga bertekad untuk membuat perubahan. N.05 Taboh Naning adalah antara lima kawasan Dun di bawah Parlimen Masjid Tanah dengan jumlah keseluruhan pemilih 8,198 orang. Disandang Datuk Latipah Omar dari BN, Taboh Naning bakal menyaksikan pertandingan sekurang-kurangnya tiga penjuru apabila Pas sejak akhir tahun turut berhasrat untuk bertanding.
Melaka mempunyai 28 kerusi dan enam Parlimen dengan jumlah keseluruhan 495,645 pemilih berdaftar. Kesedaran harkat mahukan perubahan ini kelihatan dirasakan di mana-mana, termasuk di kawasan Felda yang selama ini kawasan menjadi kubu Umno. Tetapi kini sudah berubah.
Di Johor, negeri tempat lahir Umno kini mnampakkan lonjakan kesedaran rakyat. Kedatangan Pengerusi Pakatan Harapan di Pasir Gudang, Parit Sulong, Muar dan beberapaa tempat lagi telah dihadiri bukan saja penduduk sekitar, atau orang tempatan, tetapi ramai yang datang dari kampung yang jauh. Mereka datang dengan berkongsi kereta, van dan motosikal. Keadaan ini sangat luar biasa.
Sama juga yang berlaku di pedalaman Selangor, Temerloh, Pahang dan negeri di utara. Kesedaran rakyat, termasuk dari luar bandar sangat luar biasa. Dengan itu kita semakin yakin bahwa PRU14 kali ini akan melakar sejarah, menyerlahkan keinginan rakyat mahukan perubahan. Tidak ada hujah lagi yang mampu menafikannya.
Maka itu, apabila rakyat mahukan perubahan, tidak akan ada lagi yang boleh menghalang, sebab ia adalah manifestasi kuasa rakyat.