Projek perlu bincang dengan rakyat

Asmirul Anuar Aris
Ketua Pemuda Pakatan Harapan Kedah, Asmirul Anuar Aris berpendapat sebarang cadangan projek perlu mengambil kira kepentingan dan hak masyarakat setempat. Menurutnya, kerajaan negeri wajar terlebih dahulu meneliti kesan sesuatu projek yang dirancang terhadap kesejahteraan rakyat. Beliau berpendapat, banyak masalah alam sekitar yang timbul akibat projek pembangunan di Aman Laut sekali gus menjejaskan sumber pendapatan penduduk di Kuala Kedah ekoran tiadanya penekanan tersebut. “Penduduk Kuala Kedah sekali lagi membantah Projek Aman Laut apabila berlakunya pencemaran, habuk, takungan air laut, bau busuk dan anak-anak terkena penyakit. “Pokok bakau dimusnahkan secara rakus tanpa mahu berbincang dengan penduduk kampung bagi menyelesaikan masalah penduduk,” katanya selepas bertemu penduduk terjejas baru-baru ini. Sehubungan itu, Asmirul yang juga Ketua Pemuda AMANAH Kedah berharap rakyat menggunakan peluang pada pilihan raya akan datang untuk memastikan BN tidak lagi mendapat mandat di kerajaan negeri. “Rakyat perlu bangkit menentang kezaliman Umno-BN yang lebih mementingkan syarikat besar. “Umno-BN tidak memgambil peduli tentang kesusahan rakyat yang kini dalam dilema untuk menuntut hak mereka,” katanya. Turut hadir mendengar masalah nelayan setempat akibat projek tebus guna laut itu adalah Ahli Parlimen Kuala Kedah, Dr Azman Ismail dan Exco Pemuda bersatu Nasional, Muzzammil Ismail. Sejak 2016, punca pendapatan lebih 250 keluarga nelayan di sekitar kawasan Sematang Pinang, Kubang Rotan dan Seberang Kota semakin terjejas akibat projek Aman Laut yang dirancang seluas 49.4 hektar itu. Penduduk mendakwa hasil laut di tepi pantai seperti kepah, lala, mentarang, ketam dan kerang semakin sukar diperoleh akibat kerja-kerja penambakan tanah. Mengikut Draf Rancangan Tempatan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), projek Aman Laut merupakan perbandaran baharu yang menempatkan banglo mewah, kondominium, pusat beli-belah serta komersial.
16 Shares