
Saya tertarik dengan hujah Dr Wong Chin Huat, pengkaji politik tanahair yang sentiasa merangsang pemikiran masyarakat dengan cetusan mindanya. Chin Huat pernah menyifatkan politik pembangkang tanahair sebagai “politik hari esok”, iaitu pembangkang hanya boleh bersatu untuk menawan Putrajaya pada hari esok, tetapi akan berpecah seandainya perbincangan dilanjutkan kepada, “Apa selepas itu?”
“Hari selepas esok tidak boleh dibincangkan,” kerana ia memecahkan gandingan parti pembangkang. Sama ada Angkatan Perpaduan Ummah (APU) dan Gagasan Rakyat pada tahun 1990-an, Barisan Alternatif pada tahun 1999, malah Pakatan Rakyat selepas Tsunami Politik 8 Mac 2008, ia tidak bertahan selama-lamanya. Ia berpecah apabila harapan pembangkang menjadi parti pemerintah di peringkat persekutuan berkecai, dan perbezaan idea dijadikan alasannya.
Sekali imbas, ini masalahnya sebuah masyarakat yang berbilang kaum, agama, budaya dan bahasa. Kita mempunyai imaginasi masing-masing apabila memikirkan masa depan. Sekumpulan muslim mungkin mengidamkan pelaksanaan Hudud, sementara sekumpulan yang lain mahu mempertahankan sistem sekular.
Apabila dibincangkan perubahan, sesetengah golongan bumiputera gusar jikalau kedudukan istimewanya tergugat, sementara bukan bumiputera terus merasakan dirinya didiskriminasi sebagai golongan “warga kelas kedua”.
Ketakutan dan kegusaran ini diambil kesempatan oleh golongan pemerintah, iaitu Umno Barisan Nasional. Tatkala komuniti Cina bersedia untuk menukar kerajaan pada tahun 1990, komuniti Melayu pula takut apabila Tengku Razaleigh Hamzah, Presiden Semangat 46 ketika itu ditonjolkan sebagai pemimpin yang mengkhianati Islam, hanya dengan tengkolok yang dipakainya.
Apabila masyarakat Melayu bangkit dengan gelombang Reformasi pada tahun 1999, komuniti Cina pula ditakut-takutkan dengan negara Islam dan rusuhan kaum sebagaimana yang berlaku di Jakarta. Apabila masyarakat Cina bangkit semula pada tahun 2013, Melayu pula menambat langkahnya kerana takut kerajaan baru didominasi Cina DAP.
Sesungguhnya, ketakutan ini disemai dan ditanam oleh penguasa, yang mewarisi dasar pecah dan perintah daripada penjajah British. Tetapi jikalau ketakutan ini tidak memiliki asas kewajarannya, bagaimana ia boleh menghantui masyarakat kita untuk sekian lama?
Hakikatnya, ketakutan ini berasal dari sistem kita yang membenarkan “pemenangnya untuk menyapu semua”. Dengan kata lain, pihak yang kalah akan hilang segala-galanya. Jurangnya terlalu lebar, dan risikonya terlalu tinggi.
Cuba teliti pilihan raya kita yang mengamalkan sistem First-Past-The-Post (FPTP, sesiapa yang menang majoriti mudah akan terpilih). Sistem ini menambah unsur ketidaktentuan dalam politik. Misalnya, DUN Selangor pada PRU12, peratusan undi BN jatuh dari 65% (tahun 2004) kepada 44% (tahun 2008), iaitu penurunan 21%, tetapi peratusan kerusinya berkurang secara mendadak dengan penurunan 61%, dari 96% (2004) kepada 35% (2008). Perubahan yang kecil dari segi undi telah menjana perubahan yang besar dari segi kerusi.
Masalah nisbah yang tidak setimpal antara peratusan undi dengan kerusi menimpa kedua-dua pihak BN dan Pakatan. Ia satu sistem yang sukar ditawan, tetapi senang dipertahankan. Maksudnya, sekali sahaja kita dikalahkan, maka ia agak sukar untuk kita menawan semula.
Lebih-lebih lagi setelah pilihan raya kerajaan tempatan dimansuhkan pada tahun 1965. Pada asalnya, kita memiliki tiga peringkat kerajaan – persekutuan, negeri dan majlis tempatan. Lebih gelanggang, bermaksud lebih pemain melibatkan diri. Parti politik yang kalah di peringkat persekutuan, boleh cuba nasib di peringkat negeri. Jikalau kalah lagi, masih boleh bersaing di peringkat akar umbi – iaitu kerajaan tempatan, dan dijadikan kubu untuk bangkit semula pada masa depan.
Sehingga tahun 2008, gelanggang pilihan raya seolah-olah hanya tertumpu kepada persekutuan, selain negeri Kelantan yang dikuasai Pas. Parti yang menguasai persekutuan, hampir pasti menguasai negeri, lantas secara automatik menguasai majlis tempatan. Ahli majlis dilantik terus oleh kerajaan negeri. Parti yang kecil dan baru, kehilangan makmal untuk amali politiknya di peringkat akar umbi. Ia menyukarkan kelangsungannya.
Kesemua ini menjurus kepada ketakutan hilang kuasa jikalau kalah pilihan raya. Dalam masyarakat berbilang seperti Malaysia, parti politik pula mengikat nasibnya bersama agama dan kaum – Kalah Umno, Melayu hidup melarat; Kalah Pas, Islam dihina. Kesemua sentimen ini dimainkan untuk menambat langkah rakyat Malaysia ke arah perubahan. Melayu takut hilang kuasa, Cina takut rusuhan kaum. Apabila BN dan Harapan menjanjikan perubahan yang tidak menggoyah status quo, Cina pula mempersoalkan apa maknanya perubahan itu jikalau semua kekal seperti dahulu?
Ini dilema yang membantutkan pendemokrasian politik Malaysia. Justeru itu, kita harus berani membincangkan politik selepas hari esok, iaitu “Apa seterusnya?” Untuk itu, ketakutan dan kegusaran perlu dihapuskan dalam sistem, dengan rombakan yang menyeluruh. Semua pihak harus ada tempatnya, tidak kira menang atau kalah, agar politik kita menjadi matang dan rasional. Apabila Umno yang ditumbangkan sedar bahawa dirinya berpeluang untuk bangkit semula, maka tiada alasan untuk mereka merusuh.
Dengan ini, moga politik kita kembali kepada persaingan dasar, dan bukan politik yang hanya berkisar pada kaum dan agama. Untuk itu, Pakatan Harapan telah menawarkan Buku Harapannya.
Sumber:
Akhbar Amanah, Edisi 94 (18-24 Mac 2018), ms 5