Polemik calon Muslim lawan non-Muslim
Bahang pilihan raya menjadi lebih hangat dengan isu calon Muslim bertembung calon non muslim di satu-satu kawasan. Sama ada di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Dewan Rakyat (Parlimen), terdapat pandangan daripada satu kumpulan yang mengharamkan undi kepada non muslim. Adakah tepat istinbat (kaedah keluar) hukum ini?
Kumpulan ini juga menegaskan bahawa hukum ini terpakai walaupun pertembungan berlaku di antara calon muslim yang jahat dengan calon non muslim yang baik. Kayu ukur mereka adalah agama, walaupun seseorang itu jahat dan zalim tetapi jika beragama Islam maka kita wajib undi dan sokong kerana lebih ‘afdhal’ berbanding non muslim yang baik tadi. Selain itu mereka menganggap dengan mengundi non muslim sehingga menyebabkan menang, ini membawa kepada wilayah (kekuasaan) non muslim ke atas orang-orang Islam.
Mereka menyandarkan hukum ini kepada beberapa dalil ayat al-Qur’an, antaranya firman Allah SWT dalam surah al-Nisaa’ ayat 141 maksudnya: Dan Allah tidak sekali-kali akan memberi jalan kepada orang-orang kafir untuk membinasakan orang-orang yang beriman.
Seringkali juga mereka bersandarkan firman Alah Azza wa Jalla dalam surah Ali Imran ayat 28 maksudnya: Janganlah orang-orang yang beriman mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Dan sesiapa yang melakukan yang demikian maka tiadalah dia (mendapat perlindungan) dari Allah dalam sesuatu apapun, kecuali kamu hendak menjaga diri daripada sesuatu bahaya yang ditakuti dari pihak mereka (yang kafir itu).
Juga firman Allah SWT yang mempunyai sighah yang sama dalam surah al-Nisaa’ ayat 144 maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman.
TELITI DALAM ISTINBAT
Ayat-ayat ini secara zahirnya melarang kita daripada mengambil non muslim sebagai kawan, penolong, dan termasuk juga calon untuk diundi hingga menjadi ketua yang mempunyai kuasa. Namun istinbat hukum haram mengundi calon non muslim menerusi ayat ini memerlukan ketelitian dan penguasaan ilmu Usul al-Feqh. Ini kerana tidak semua teks ayat al-Qur’an boleh kita bergantung kepada zahirnya sahaja, bahkan terdapat ayat-ayat al-Quran pada dalalah (pendalilan) hukumnya adalah mu’allalah (bersebab). Selain adakah ia bersifat mutlak kepada semua non muslim atau muqaiyyad (terikat) untuk sebahagian daripada mereka sahaja? Seterusnya adakah kita telah kumpulkan semua ayat al-Quran yang berkaitan dengan non muslim sehingga kita boleh buat kesimpulan dan istinbat hukum haram?
Mungkin kumpulan tadi terlupa atau tidak bertemu dengan firman Allah SWT dalam surah al-Mumtahanah ayat 8-9 maksudnya: Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanya melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.
Menerusi ayat ini, Allah Azza wa Jalla telah membahagikan non muslim kepada dua kumpulan; pertama adalah yang baik kepada orang-orang Islam, tidak memerangi dan mengusir muslimin dari kediaman mereka. Manakala kumpulan kedua adalah yang memusuhi, memerangi dan mengeluarkan orang-orang Islam dari rumah-rumah mereka. Kumpulan ini seperti Musyrikin Mekah yang telah menyakiti dan menghalau nabi SAW dan umat Islam. Inilah kumpulan yang kita tidak boleh berkawan dan mengundi mereka. Adapun kumpulan yang pertama, kita tidak dilarang untuk berkawan dan mengundi mereka berdasarkan dalalatu al-nas yang tidak perlukan sebarang ta’wil. Maka ayat ini telah mengikat (qayd) mutlaknya ayat-ayat yang digunakan oleh kumpulan yang mengharamkan undi kepada non muslim.
Di samping itu, ayat yang melarang kita mengambil non muslim sebagai kawan rapat serta penolong, illah (sebab) nya bukan semata-mata kufurnya mereka kepada Islam. Firman Allah SWT dalam surah al-Mumtahanah ayat 1 maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil musuhKu dan musuh kamu menjadi teman rapat, dengan cara kamu sampaikan kepada mereka dengan sebab hubungan baik dan kasih mesra yang ada di antara kamu dengan mereka, sedang mereka telah kufur ingkar terhadap kebenaran (Islam) yang sampai kepada kamu; mereka pula telah mengeluarkan Rasulullah (SAW) dan juga mengeluarkan kamu disebabkan kamu beriman kepada Allah Tuhan kamu.
Ayat ini telah menafsirkan ayat-ayat yang awal di atas, bahawa larangan Allah Azza wa Jalla menjadikan non muslim sebagai kawan rapat dan penolong bukan hanya kerana tidak berimannya mereka, tetapi juga bergabung dengan illah (sebab) lain iaitu menghalau dan mengusir nabi SAW dan umat Islam daripada kediaman mereka tanpa hak. Oleh itu, jika seorang non muslim hanya sekadar tidak beriman tanpa illah (sebab) kedua iaitu menghalau, maka tiada larangan. Persoalannya ialah bagaimana pula dengan calon muslim yang terang-terang menentang, mempersenda dan menolak Islam menerusi ucapan dan tulisan mereka?
Mengetahui perbahasan ayat-ayat di atas menjadikan kita faham dan memperhalusi maksud muwalat (penguasaan) non muslim yang sebenarnya dilarang oleh Islam. Dengan kefahaman tersebut kita terhindar daripada kesilapan memetik dan istinbat hukum hanya kerana baru berjumpa dengan satu ayat al-Qur’an yang belum tentu dalalah (pendalilan) nya qat’ie (putus dan pasti). Ia keliru dan mengelirukan!
Calon yang menang dalam pilihanraya nanti bakal menjadi seorang wakil rakyat bukannya khalifah, Imam atau ketua negara. Itu pun bukannya wakil kepada kesemua rakyat tetapi hanya mewakili satu juzu’ daripada jumlah rakyat di seluruh negara (kerusi Parlimen) atau negeri (kerusi DUN). Seorang wakil (rakyat) bukannya ketua, menteri atau gabenor, tetapi dia mewakili kawasannya dalam dewan yang berfungsi untuk menegur kepimpinan, penguasa dan para menteri. Oleh itu, dia menegur bukannya yang ditegur.
KUASA TERHAD
Kuasa seorang wakil rakyat di Malaysia terhad dan terbatas, dikawal dan terikat dengan undang-undang serta perlembagaan negara. Apatah lagi ingin menyentuh sebarang urusan yang berkaitan dengan agama Islam, perlu melepasi dan mendapat perkenan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agung dan Majlis Raja-raja. Tambahan pula jumlah non muslim tidak majoriti dalam DUN atau Parlimen. Dan pasti wakil-wakil rakyat muslim akan bersuara dan berperanan mempertahankan. Melainkan jika mereka hanya datang untuk tunjuk muka kepada ‘bos’ serta klim tambang hadir persidangan semata-mata!
Tidak mempunyai kuasa penuh dan terhad ini yang menyebabkan al-Mawardi (450H) membenarkan ahli al-Zimmah boleh dilantik menjadi menteri yang hanya bersifat membantu melaksanakan dan melicinkan kerja seorang ketua negara. Kata al-Mawardi: Harus seorang menteri (tanfiz) itu daripada ahli a-Zimmah meskipun dia tidak boleh memegang jawatan menteri tafwidh (mendapat kuasa). Perbezaan di antara kedua-dua kementerian ini berdasarkan perbezaan dua kuasa, yang demikian itu dari empat aspek; salah satunya ialah menteri tafwidh berkuasa untuk menentukan hukum dan menghapuskan kezaliman, sedang ini tiada pada menteri tanfiz.
Menurut al-Mawardi, menteri tanfiz (pelaksana) bidang kuasanya tertakluk kepada arahan
imam (ketua negara). Ini berbeza dengan menteri tafwidh yang mendapat kuasa penuh untuk
melakukan sebarang tindakan berdasarkan kehendak dan pendapatnya. Ini menunjukkan
hukum harus perlantikan mereka. Ini dalam hal melantik menteri, adapun wakil rakyat ia lebih rendah darjatnya dan tidak sepenting jawatan menteri. Keadaan dan sistem yang berbeza juga menyebabkan kita perlu menilai dan meneliti setiap perbezaan ungkapan para ulama’.
Yang salah bukan pandangan mereka, tetapi kita yang sering silap menggunakan secara pukul rata untuk semua perkara sedangkan konteksnya berbeza. Sistem pentadbiran negara Malaysia yang berasaskan demokrasi berperlembagaan tidak sama dengan sistem khalifah pada kurun-kurun awal Islam. Walaupun berkongsi istilah seumpama menteri dan kementerian, namun ia belum tentu sama pada perlaksanaannya. Selepas tiada teks dalil yang qat’ie (putus dan pasti) melarang daripada mengundi calon non muslim dalam PRU, maka masolih mursalah menjadi sandaran kepada keharusan hukum mengundi mereka. Ini kerana kita tidak boleh menafikan kewujudan mereka di Malaysia yang mewakili hampir 40 peratus daripada jumlah keseluruhan rakyat Malaysia. Mereka akan mewakili suara non muslim di dalam sidang DUN atau Parlimen. Maka maslahat dan kepentingan wujud di sini untuk didengar pandangan serta tuntutan mereka untuk memelihara hak mereka yang dijamin oleh Islam sebagai kumpulan minoriti.
Jangan kerana ingin menang mudah dalam PRU dan menafikan hak orang lain, dengan senang
kita meletakkan hukum haram mengundi calon non muslim. Tindakan ini bakal mematikan keanjalan dan kesyumulan syari’at Islam sebagaimana para sahabat yang telah menyebabkan kematian sahabat mereka sehingga ditegur oleh nabi SAW kerana kesilapan memberi fatwa.
Diriwayatkan daripada Ibn Abbas RA katanya yang bermaksud: Seorang lelaki cedera pada zaman nabi SAW, kemudian bermimpi, disuruh kepadanya mandi, lalu dia pun mandi dan meninggal dunia. Kisah itu sampai ke pengetahuan nabi SAW lalu nabi bersabda: mereka telah membunuhnya, Allah akan membunuh mereka. Bukankah ubat bagi orang yang tidak tahu adalah bertanya. (Riwayat Abu Daud)
Kesimpulannya, tiada dalil qat’ie yang melarang untuk mengundi calon non muslim dalam PRU di Malaysia. Ia termasuk dalam siasah syar’iyah bagi pemerintah untuk membenarkan pencalonan mereka atas dasar maslahat kumpulan minoriti. Wallahu a’lam.
Sumber petikan: Akhbar Mingguan Amanah Edisi 98 (15-21 April 2018), ms 4 , bersambung ke Edisi 99 (22-28 April 2018), ms 4.
Diolah semula dari sumber asal: CALON MUSLIM vs NON MUSLIM (Anhar Opir | 29 Rabi’ al-Akhir 1434H (11 Mac 2013) | Sweileh, Amman)