Pakatan membawa sinar harapan kepada peminjam PTPTN

Minda Kanun
Antara manifesto PH yang dilancarkan pada Khamis lepas adalah untuk memansuhkan dasar senarai hitam ke atas peminjam PTPTN selain daripada menangguhkan pembayaran balik PTPTN ke atas peminjam yang bergaji RM4000 ke bawah sebulan. PTPTN telah melaksanakan dasar senarai hitam peminjamnya semenjak pindaan undang undang dibuat yang telah berkuatkuasa mulai 1 Januari 2016. Melalui pindaan kepada Seksyen 22A Akta Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional 1997 (Akta 566). Ketua Eksekutif PTPTN hanya perlu mengeluarkan perakuan kepada Ketua Polis Negara atau Ketua Pengarah Imigresen untuk melarang peminjam daripada meninggalkan Malaysia. Dengan perakuan tersebut semata-mata PTPTN sudah boleh melarang peminjam tersebut untuk keluar negara. PTPTN tidak perlu mendapatkan apa-apa perintah Mahkamah bagi menguatkuasakan larangan tersebut. Tambahan lagi, Seksyen 22A itu juga telah memasukkan klausa khas bahawa mana-mana pegawai PTPTN, pegawai PDRM atau imigresen atau mana-mana pegawai penjawat awam yang terlibat dengan penyenaraian hitam ini tidak perlu bertanggungjawab terhadap hutang tersebut. Ini seolah-olah jika berlaku kesilapan atau kecuaian sekalipun, pegawai PTPTN, PDRM atau imigresen akan dilepaskan oleh undang-undang. Undang-undang gubalan BN ini telah memberikan kekebalan penuh ke atas mereka dan orang yang teraniaya akibat kecuaian dan kesilapan itu tidak akan dapat menuntut sebarang gantirugi. Menurut Pekeliling PTPTN Bil. 1/2016 bertajuk “Penguatkuasaan Larangan Keluar Negara Terhadap Peminjam Ingkar PTPTN” menyatakan bahawa mana-mana peminjam yang mempunyai hutang tertunggak akan disenaraihitamkan oleh Jabatan Imigresen. Peminjam ini akan dihalang daripada keluar negara atau memohon atau membaharui pasport. Tidak pula dinyatakan berapakah kadar hutang tertunggak yang boleh disenaraihitamkan ini. Boleh jadi sesiapa yang mempunyai tunggakan sebulan pun boleh disenaraihitamkan. Ini boleh mendatangkan kepayahan dan kesusahan kepada peminjam. Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Mustafar Ali dilaporkan telah memberikan kenyataan bahawa setakat November, 2017 seramai 447,890 daripada 790,186 rakyat Malaysia telah disenaraihitamkan pihak imigresen adalah peminjam PTPTN. Jumlah ini agak membimbangkan kerana separuh daripada yang disenaraihitamkan adalah peminjam PTPTN. Maka, rata-rata yang disenaraihitamkan ini adalah anak-anak muda. Anak-anak muda gemar untuk mengembara ke luar negara. Mengembara boleh menambahkan pengalaman dan ilmu. Seharusnya anak muda digalakkan untuk mengembara bukan untuk menyekat mereka. Banyak lagi cara lain untuk mengutip hutang. Tambahan lagi, kos untuk mengembara pada masa kini sudah banyak berkurangan dengan perkembangan pesat industri penerbangan murah seperti AirAsia dan kemudahan tempat tinggal seperti AirBnB. PTPTN dalam laman web mereka menyatakan tindakan senarai hitam akan dikenakan kepada kepada mana-mana peminjam yang mempunyai tunggakan bayaran balik pinjaman. Peminjam juga tidak akan diberitahu atau dihantar surat atau notis pemberitahuan bahawa mereka telah disenarai hitamkan. Peminjam perlu menyemak sendiri nama mereka di dalam talian melalui portal rasmi PTPTN dan Jabatan Imigresen. Peminjam yang disenarai hitamkan hendaklah berunding dengan PTPTN dalam tempoh 7 hari sebelum ke luar negara bagi mengelakkan sekatan di lapangan terbang atau di pintu sempadan. Menangguhkan Bayaran PTPTNMenurut PTPTN, peminjam dikehendaki membayar keseluruhan hutang pinjaman atau keseluruhan tunggakan termasuk semua kos yang dikenakan sebelum nama mereka dikeluarkan daripada senarai hitam. Sekiranya tidak mampu, peminjam boleh berunding dengan PTPTN dengan membuat apa-apa jumlah yang dipersetujui oleh PTPTN dan penstrukturan semula pinjaman atau kaedah lain yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak. Ramai peminjam telah menyuarakan rasa tidak puas hati dengan dasar ini. Dasar ini menyusahkan peminjam yang kadang-kala telah menempah tiket ke luar negara lebih dari setahun kerana inginkan tiket murah. Bayangkan jika di saat akhir peminjam itu telah disenarai hitamkan maka kemungkinan besar tiket dan tempahan penginapan yang dibeli itu akan sia-sia. Maka, kerugian yang dialami oleh peminjam itu tidak akan digantikan oleh PTPTN. Sekurang-kurangnya PTPTN boleh lebih berperikemanusiaan dalam hal ini dengan memberikan notis bertulis kepada peminjam sebaik sahaja nama peminjam itu disenarai hitamkan. Seperkara lagi, proses senarai hitam ini boleh dibuat oleh PTPTN tanpa perlu PTPTN mendapatkan perintah Mahkamah terlebih dahulu. Memberikan kuasa kepada PTPTN untuk menyenaraihitamkan peminjam boleh membuka ruang kepada salah guna kuasa. PTPTN boleh menindas peminjam dengan mengenakan pelbagai syarat yang tidak munasabah. Kuasa yang luas yang diberikan kepada PTPTN ini tidak mempunyai mekanisme semak dan imbang. Akhirnya, anak muda terpaksa menerima apa jua syarat yang dikenakan semasa berunding dengan PTPTN sehingga menyebabkan kepayahan hidup untuk mereka. Mereka mungkin terpaksa menggali hutang lain untuk menjelaskan hutang PTPTN. Maka, atas dasar ini PH telah memberikan harapan baharu kepada anak muda. Bukan hasrat PH untuk menggalakkan anak muda untuk tidak membayar hutang. Hasrat PH adalah untuk mengurangkan beban dan kerunsingan anak muda. Sudahlah usaha untuk mendapatkan kerja dan gaji yang setimpal dengan kelulusan agak sukar pada zaman sekarang, ditambah pula dengan beban senarai hitam ini boleh menyebabkan anak muda terus ditindas. Justeru, anak muda sewajarnya tidak teragak-agak untuk mengundi PH pada kali ini. Berikanlah peluang kepada PH untuk membuktikan janji ini menjadi satu kenyataan. Tumbangkanlah kerajaan BN yang ada pada hari ini untuk kemakmuran pada masa hadapan. Sumber: Akhbar Amanah, Edisi 94 (18-24 Mac 2018), ms 9
65 Shares