Menyonsong tibanya Tahun Baru Cina

Anuar Tahir
BARU-BARU ini saya kembali membaca buku ‘The Sweet Rebel: Remembering Fon Yew Teng’. Sebuah buku yang memuat tulisan-tulisan menghormati seorang pejuang sosial yang diedit oleh dua orang puteri kembarnya Pauline Fan dan Lilianne Fan. Oleh kerana persahabatan yang akrab dengan mendiang Fan Yew Teng, saya telah diminta menulis tentang dirinya di buku tersebut. Tulisan saya di buku itu bertajuk ‘Fan Yew Teng: A True Comrade And Compatriot’ mencatat betapa persahabatan yang benar-benar manusiawi antara saya dengan seorang sahabat keturunan Tionghoa yang pemergiannya dari dunia ini amat terasa hingga kini. Saudara Fan banyak mengajar saya tentang perjuangan kemanusiaan. Bersama beliau, Almarhumah Dr Alijah Gordon dan SM Mohamed Idris saya menubuhkan Malaysian Action Front di penghujung tahun 80-an, menggabungkan 50 organisasi yang memperjuang keadilan dan hak asasi manusia. Bersama Fan, Ahmad Azam Abdul Rahman juga Ahmad Kamal Ali, saya menubuhkan Cenpeace yang membawa saya menemui Collin Archer, Setiausaha Agung International Peace Bereau di Geneva, Switzerland yang diperkenalkan oleh Fan yang punya rakan di seluruh dunia itu. Fan juga memperkenalkan kami kepada Helen Clarke, Ketua Pembangkang Parlimen New Zealand yang berkunjung ke Malaysia bagi menyampaikan wacana anjuran Cenpeace. Puan Helen Clarke kemudiannya terpilih menjadi Perdana Menteri wanita pertama New Zealand. Saudara Fan ikut aktif menyokong perjuangan Palestin, Bosnia Herzegovina, Timur Laste dan berbagai isu kemanusiaan termasuk isu penindasan ke atas orang Islam di serata dunia. Perjuangan kemanusiaan Beliau memang seorang sahabat yang banyak mengajar saya dalam perjuangan kemanusiaan. Sesungguhnya persahabatan dengan seorang Fan Yew Teng membuat saya dapat memaknai apa yang dimaksudkan oleh takrif hubungan mukmin dengan bukan Islam oleh Saidina Ali akhukum fil insan (Saudaramu dalam kemanusiaan). Saudara Fan, saya dan rakan-rakan memprotes Perancis yang menghalang murid-murid perempuan muslim berhijab di sekolah. Beliau mempengaruhi kami menganjurkan pemulauan produk Perancis sebagai bantahan terhadap dasar negara Perancis yang merampas hak asasi masyarakat muslim di negara Eifel Tower itu. Selepas kami mengisytiharkan boikot barangan Perancis itu, saya memberitahu Fan saya adalah peminat kereta Citroen dan sudah lama bercadang untuk memilikinya. Fan begitu marah kepada saya dan menyatakan jika saya meneruskan cadangan itu, boikot produk Perancis jadi momokan dan beliau mengugut untuk meletakkan jawatan. Saya betul-betul malu dibuatnya dan segera membatalkan hasrat saya itu. Lama sesudah kempen itu berlalu kira-kira sepuluh tahun barulah saya berani membeli sebuah model Citroen idaman saya itu. Tentu saja saya tidak dapat melupakan sewaktu belajar di ITM (1971-1974) di mana para pensyarahnya 90% adalah kaum Cina dan India. Tan Sri Arshad Ayub, pengarah ITM mengambil para pensyarah bukan Melayu yang komited untuk mendidik kami di bidang ikhtisas. Limau mandarin Mr. Patrick Koay seorang pensyarah penggiat teater telah melatih saya untuk mampu berbahasa Inggeris dan berlakon sebuah teater Perancis yang dialih bahasa ke Inggeris. Beliau begitu komited dan mengasihi kami para pelajarnya. Ketika menyambut kedatangan Tahun Baru Cina tidak cukup untuk kita meraikan teman-teman keturunan Tionghua dengan sekadar pakaian berwarna merah, mengucapkan ‘Gong Xi Fa Chai’ atau menyatakan ucap hormat ‘Xin Nin Koa Le’ semata-mata dan mengedar limau Mandarin kepada mereka. Tahun Baru Cina Kita perlu menghayati makna persaudaraan manusia. Kita perlu bertekad untuk tidak berfikiran sempit dan berminda perkauman. Sampai bila rakyat yang sudah berdekad-dekad merdeka dan membentuk negara berbilang kaum ini perlu ditakutkan dengan api perkauman. Sampai bila pula kita harus menyemarakkan kebencian tanpa noktah dengan secara mudah-mudah ‘mengkafirharbikan’ sesama warga negara. Di mana pula penghayatan kita bahawa Islam itu rahmat untuk sekalian alam. Bahawa Islam rahmat untuk semua itu boleh menjadi faktor penyatu kepada kemajmukan etnik di negara bertuah ini. Apakah Islam tidak dapat menghapuskan parut peristiwa hitam 13 Mei? Idea perkauman Kenapa tidak secara serius kita lempar jauh-jauh idea-idea perkauman dan mewujudkan kehidupan bersama dan suasana jamak budaya dan agama seperti zaman pemerintahan Islam di Andalusia, di mana konsep ‘La Conviviencia’ telah mewarnai tamadun zaman tersebut dengan semangat Sahifah Madinah. (Dr.Mazlee Malik 2014) Menghunus keris di perjumpaan-perjumpaan politik walaupun atas nama Islam tidak akan dapat memantap dan memurnikan agama Allah Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang ini. Biarlah saya tutup makalah ini dengan memperturunkan puisi Sasterawan Negara Usman Awang yang ditulis empat tahun sesudah kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu. Pemuda Dan Gadis Tionghua (Kong Hee Fat Choy but Lim, Goh dan Linda) Hari depan yang manis dalam usia tanahair Mengisi wajah para pemuda dan gadis Tionghua Sederap tumbuh bersama pohon-pohon bumi subur Pucuk getah dan ladang petani disinari matari timur. Pada tangis pertama kelahiranmu di bumi ini Sampai saat terakhir nafas dalam melangkah kaki Teguh-teguhlah menyanyikan lagu tanahair tercinta Bersama kita atas kesegaran kepedihan bumi merdeka. Bukankah kecurigaan telah terbunuh ketika kita bersapa Hidup ini sudah terbenam pada persamaan nasib semata Kaum pekerja dan petani dalam satu sumber mengalir Sama-sama menyanyikan lagu terbagus untuk tanahair. Pemuda dan gadis Tionghua, di sini bumi dan udara kita Yang menghidupkan dan bagi kematian, o tanahair Dengan kepastian tidak seorang pun akan mungkir Kerana kejujuran tertambat pada kesetiaan mengalir. Lihatlah makam nenek moyang sebagai sejarah terpahat Darahnya dalam darahmu segar di kulit kuning langsat Esok, ketika tahun baru, akan kukirimkan sebuah angpau Dalamnya, sebuah cinta dari jantung tanah dan pulau! Usman Awang 1961 Penulis ialah Setiausaha Agung AMANAH. Sumber: Akhbar Amanah (Edisi 90, 18-24 Februari 2018, ms 27)
0 Shares