Mendedah strategi Najib di masa kecederaan
MALAYSIA di ambang pilihan raya umum paling bersejarah dalam naratif politik negara- bangsa ini. Sebabnya amat jelas.
Peluang mencipta sejarah dalam seumur hidup kita amat cerah dan mungkin tidak akan mengunjungi rakyat lagi. Andainya gagal kali ini, rakyat akan terus terbeban dengan seaneka kenaikan kos sara hidup sementara demokrasi di negara ini akan menjadi autokrasi dan kuku besi.
Amat jelas di garis penamat ini, PM Najib hanya punya satu matlamat yakni untuk menang. Menang bererti selamat Najib dan Umno. Kekalahan bererti mendedahkan dirinya kepada pelbagai dakwaan jenayah bukan sahaja dalam negara bahkan seantero dunia. 1MDB jelasnya adalah konspirasi jenayah antarabangsa didalangi Jho Low sementara Najib adalah Penasihat 1MDB.
Kejayaan awal strategi Najib dalam memecahkan kesatuan pembangkang (Pakatan Rakyat) sekaligus memenjarakan ikon reformasi Datuk Seri Anwar Ibrahim, bersekali dengan momokan terhadap DAP dan memecahkan, mengasingkan serta ‘memandulkan’ Pas, tidak lama mampu bertahan. Sementara meneruskan agenda dan menajamkan lagi isu-isu kaum-agama (ethnorelogious card), Najib kelihatan kaget dan gusar menyaksikan dinamika baru dalam PH dan pola politik negara.
Dengan kemunculan Pakatan Harapan (PH) yang kemudiannya disertai dan diperkukuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PBBM) di bawah kepimpinan Tun Dr Mahathir dan Tan Sri Mahyuddin, landskap politik segera bertukar.
Sekarang ini muafakat politik PH cukup mantap. Bersedia dengan calon PM dan TPM, peluang rakyat mengangkat sebuah kerajaan Pakatan Harapan semakin cerah. Tawaran Manifesto PH hampir-hampir merupakan ‘rawatan komprehensif’ kepada segala dan seaneka penyakit negara ini. Sebuah Malaysia Baru bakal menyinsing.
Kini rakyat diberi pilihan ‘kerajaan menanti’ buat mengganti kerajaan kleptokrat Najib yang ditanggapi umum semakin bobrok, usang dan hilang arah. Hidup-mati perjuangan Umno berkisar sekitar untuk pertahankan Najib. Untuk pertahankan Najib, kepimpinan Umno terpaksa pertahankan Jho Low kerana jatuh Jho Low kecundanglah Najib. Malang sekali!
Dalam kekalutan dan kemelut mendepani kemaraan rakyat dan PH, Najib menukar strateginya. Masih dalam masa kecederaan, beliau mengatur langkah-langkah liciknya untuk mempastikan lawannya disekat dan kemenangan rakyat akan dapat dinafi bahkan sanggup dicuri.
Bagi memenuhi matlamat strategiknya, Najib bergantung kepada kerjasama SPR dan RoS. Sementara itu, laluan oleh Yang Dipertua Parlimen (Legislatif) dan Mahkamah (Kehakiman) memberi jalan mudah merealisasikan segala makar jahat kumpulan pemikir atau ‘think-tank’nya.
Pertama, peranan SPR dan manipulasi persempadanan semula. Meskipun dicabar pelbagai pihak, khasnya ‘judicial review’ dari kerajaan negeri Selangor, Najib bertegas untuk membentang cadangan SPR itu di Parlimen.
Kritikan keras terhadap cadangan persempadanan semula SPR yang bertentangan dengan beberapa peruntukan Perlembagaan Persekutuan didahului oleh pihak akademik termasuk bekas hakim. Ketidakseimbangan kawasan hasil ‘gerry-mandering’ jelas memberi kelebihan atau ‘advantage’ kepada parti pemerintah. SPR dan Umno-BN tidak langsung mempedulikan
akibat buruk pengasingan atau polarisasi etnik atau kaum yang nyata dan menonjol sekali.
Tegasnya, persempadanan semula SPR ini didakwa dapat membantu BN menang dua pertiga majoriti dengan hanya perlu meraih 40 peratus undi. Ini mengikut kata seorang akademik, jika peratus keluar mengundi hanya ke tahap 70%.
BN diramalkan akan menambah 8 kerusi parlimen di Semenanjung dengan cadangan semula ini, mengandaikan suasana 2013 tidak berubah. PH juga akan berdepan laluan sukar di tiga negeri sasarannya yakni Johor, Selangor dan Perak.
Langkah kedua Najib yang jelasnya dilakukan secara tergesa-gesa adalah memperalatkan perundangan. Dengan membentangkan RUU Anti-Berita Palsu, di ambang pilihan raya, dengan pelbagai kekurangan di segi ‘framing’ dan ‘pentakrifan’ penggubalan undang-undang substantif itu sendiri, Najib hanya punya satu matlamat.
Beliau mahu menjerut dan mencekik semua saluran komunikasi pembangkang serta pihak NGO dan rakyat. Hukuman melanggari undang-undang ini membawa penalti maksimum RM500,000 atau penjara 10 tahun atau kedua-dua sekali adalah amat menakutkan atau ‘prohibitive’. Najib merancakkan ‘Politik Ketakutan” atau ‘Politic of Fear’.
Sudahlah tidak langsung memberi sedikit laluan pun untuk pembangkang menggunakan media perdana (cetak dan elektronik) yang dibayar semua pembayar cukai, yang pastinya bukan milik Umno, kini Najib menyempurnakan cita-cita tamak dan curangnya, untuk menguasai saluran media digital pula.
RUU Anti-Berita Palsu atau ‘Anti-Fake News’ adalah sendirinya ‘Fake Law’. Ia adalah instrumen kerajaan yamg sangat drakonian justeru amat berlawanan atau ‘ultra-vires’ dengan pelbagai peruntukan Perlembagaan Persekutuan!
Lebih jahat lagi dari kedua strategi Najib tadi ialah penggunaan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS). Umum tampak jelas pendekatan RoS yang akan menggagalkan pendaftaran Pakatan Harapan sekaligus menafikan penggunaan ‘Satu Logo PH’ dalam PRU nanti. RoS pastinya tidak akan meluluskan pendaftaran PBBM dan sedikit waktu dahulu tetap mencuba mengharamkan DAP.
Kesimpulannya, Najib dan Umno-BN sangat gerun dengan lambang kesatuan muafakat politik yang menampilkan gandingan legenda kepimpinan politik yakni Tun M-DSAI- LKS-Mat Sabu dengan disokong takungan kepimpinan yang memiliki pelbagai latar belakang, kepakaran dan pengalaman.
Inilah saf kepimpinan yang sudah bersedia dengan tawaran manifesto yang komprehensif serta komited menggantikan kepimpinan dan kerajaan kleptokrat BN untuk ‘Membina Negara dan Memenuhi Harapan Rakyat’.
Dengan strategi ‘kesatuan muafakat politik’ bersama-sama rakan-rakan strategik PH yakni Hindraf dan MIRA New Gen serta seluruh NGO (Bersih dan lain-lain) dan rakyat yang mendambakan perubahan, sedang dicipta riak dan akhirnya gelombang, yang akan bakal menumbangkan kerajaan BN. Biiznillah!
Dr Dzulkefly Ahmad ialah Pengarah Strategi AMANAH.
Sumber: Akhbar Mingguan Amanah, Edisi 96 (1-7 April 2018), ms 12