Kita lawan kerana BN tidak peduli

Liew Chin Tong
Pilihanraya umum 2018 bukan sekadar pertandingan di antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN). Ia juga bukan perlawanan di antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Najib Razak. Dan tentunya ia bukan soal saya bertanding melawan Datuk Seri Wee Ka Siong di Ayer Hitam. Yang lebih penting dalam PRU ke-14 ini adalah rakyat Malaysia pelbagai kaum dan agama bersatu hati, berganding bahu melawan kerajaan Najib dan BN. Kita bangun menentang salah urus tadbir, keangkuhan kuasa dan kleptorasi kerana semua ini memberi kesan buruk kepada rakyat dan negara. Sejak PRU 2013, masalah mula timbul dengan pelaksanaan GST pada 1 April 2015, kejatuhan nilai ringgit sejak Oktober 2014 dan pemansuhan subsidi secara berterusan. Ia telah menyebabkan harga barangan meningkat. Pendapatan boleh-guna rakyat terjejas dan ia memburukkan sektor kepenggunaan domestik. Ini bermakna bil bulanan yang kita bayar semakin bertambah. Kos sara hidup meningkat sedangkan gaji dan pendapatan kita masih di takuk lama. Golongan pelajar dan mahasiswa tertekan manakala ibu bapa mereka menderita terpaksa membanting tulang mencari pendapatan tambahan. Ini bermakna pendidikan tinggi di Malaysia sudah menjadi satu kemewahan yang tidak mampu dinikmati semua rakyat Malaysia. Dalam keadaan ini, apa yang kerajaan Najib lakukan? Kerajaan BN bersikap angkuh dan tidak peduli. Najib tidak memahami kehidupan rakyat biasa dan tidak bersedia mengakui bahawa pengurusan ekonominya gagal memenuhi keperluan rakyat Malaysia. Apabila rakyat membangkitkan masalah mereka, rakyat pula dipersalahkan. Mereka dituduh malas atau tidak pandai mencari peluang. Inilah keangkuhan kuasa BN. Apabila ekonomi Malaysia muram, rakyat terpaksa berhijrah mencari kerja. Dalam masa tidak sampai lima tahun kebelakangan ini, jumlah rakyat Malaysia yang setiap hari berulang-alik ke Singapura melalui Tambak Johor meningkat daripada 200,000 kepada 300,000. Kebanyakan mereka terpaksa bekerja di sektor sukar, kotor, dan bahaya yang bergaji rendah. Malah ada juga rakyat Malaysia yang terpaksa bekerja secara haram di United Kingdom, New Zealand, Australia dan Korea Selatan. Semua ini berlaku kerana pentadbiran Najib tidak menepati janji-janjinya pada PRU13. Sebaliknya, skandal mega 1MDB serta Felda dan Mara menyebabkan beban kewangan negara teruk terjejas. Semua ini membebankan rakyat. Saya amat memahami masalah tekanan ekonomi. Ibu bapa saya datang dari kawasan perumahan paling miskin di Kuala Lumpur. Rumah kami terletak di kawasan perkuburan di Sungai Besi. Ayah saya melibatkan diri dalam beberapa perniagaan kecil tetapi malang datang menimpa-nimpa sehingga dia pernah kehilangan semua wang simpanannya akibat krisis ekonomi. Ibu saya pula bekerja sebagai kerani yang terpaksa berhenti untuk menjaga anak selepas adik saya dilahirkan. Dia turut menjual tiket loteri untuk menyara keluarga. Oleh itu, saya marah dengan segelintir golongan elit, termasuk pemimpin kerajaan, yang menganggap sesiapa yang tidak berjaya dalam perniagaan sebagai orang yang kurang cerdik atau pemalas. Golongan mewah ini lupa bahawa setiap kali krisis ekonomi terjadi, termasuk akibat daripada salah urus kerajaan, golongan yang paling bawahlah yang akan merasai kesan paling buruk. Oleh kerana pentadbiran Najib dan kerajaan BN telah gagal menangani semua masalah ini – semuanya ditimbulkan oleh mereka sendiri – masanya tiba untuk kita membuat perubahan. Inilah sebabnya mengapa kita semua melawan BN. Ia bukan sekadar Pakatan Harapan melawan BN, Ia adalah perjuangan semua rakyat Malaysia melawan pentadbiran Najib dan BN. Liew Chin Tong ialah calon Pakatan Harapan bagi Parlimen Ayer Hitam merangkap Pengarah Pendidikan Politik DAP Kebangsaan. Sumber: Akhbar Mingguan Amanah Edisi 99 (22-28 April 2018), ms 12
14 Shares