Kenapa Parti Islam AMANAH?

Ahmad Lutfi Othman
Alhamdulillah, buku “Parti Amanah Negara: Cabaran, Halangan dan Potensi Sebagai Parti Islam Berpengaruh, Berintegriti” dapat disiapkan juga. Meskipun kerap terhalang kerana keuzuran dan dalam masa sama menghadapi kesukaran mengumpulkan tulisan daripada rakan-rakan wartawan, sarjana dan pemimpin AMANAH sendiri, akhirnya ia mampu dilunaskan. AMANAH adalah sebuah parti Islam yang sering disalahtanggap, dan dilabelkan dengan bermacam-macam panggilan yang negatif. Sudah tentu kemunculannya tidak diraikan oleh Pas, malah dianggap pengkhianat yang perlu dihapuskan, dan dalam masa sama, kewujudannya juga mungkin tidak begitu dialu-alukan oleh rakan sekutu dalam pembangkang. AMANAH juga tidak mempunyai nama-nama besar dan tersohor, seperti parti-parti serpihan Umno, iaitu Semangat 46, Keadilan dan Bersatu. Ia dipandang lekeh dan diramal mempunyai hayat pendek sepertimana parti Hamim dan Berjasa. Namun, latar belakang para pengasas parti Islam ini, berdasarkan komitmen, kegigihan dan ketulusan mereka bersama Pas dahulu, dengan kesediaan untuk membentuk wadah baru yang inklusif, peduli, terbuka, sederhana dan progresif, menjanjikan AMANAH sebagai parti masa depan yang berpengaruh dan berintegriti. Barisan pemimpinnya yang teruji dengan rantaian tribulasi yang mematangkan, didukung para penyokong yang istiqamah, setia tetapi kritis, juga diasuh dengan adab akhlak yang baik. AMANAH juga berpeluang untuk menjadi parti Islam yang lebih berintegriti apabila ia mampu menimba iktibar daripada jatuh-bangunnya Pas dan memanfaatkan pengalaman lama dalam eksperimen berpolitik parti-parti pembangkang. Ia berusaha keras dan diiktiraf sebagai tenaga pemersatu oposisi, walaupun terpaksa banyak berkorban demi cita-cita luhur membebaskan tanahair daripada cengkaman Umno-BN. Sungguh, kejujuran dan ketulusan pemimpinnya menyerlah, terutama bagi menentukan agenda perubahan dan pembaharuan yang didamba rakyat dapat dicapai. Supaya buku ini mampu menawarkan maklumat dan sudut pandang yang bermanfaat kepada pembaca, saya mengatur siri wawancara dengan pelbagai lapis kepemimpinan, bagi mendengar sendiri idea, tanggapan dan wawasan mereka. Soalan dilontarkan mungkin ada yang berulang tetapi dijawab oleh pemimpin berbeda dengan penekanan berlainan. Bukan sahaja untuk mematahkan tohmahan dan menyanggah usaha terancang memperkecilkan AMANAH, tetapi juga bertujuan mendedahkan misi dan visi besar parti Islam berdepan cabaran masa depan yang lebih rumit. AMANAH bukan sekadar mencari pengaruh dan kuasa, tetapi berperanan besar membawa misi islah dan tajdid, meneroka makna sebenar progresif dan kesederhanaan, dengan Islam sebagai Rahmatan Lil Alamin. Ya, tidak mudah menggerakkan pemikiran progresif di kalangan masyarakat yang umumnya konservatif.   Buku Amanah Antara persoalan yang cuba dijawab buku ini, wajarkah ditubuhkan sebuah lagi parti Islam selepas wujud Pas sejak sekian lama? Apakah AMANAH hanya berbeda dengan Pas, daripada segi pendekatan dan gaya berpolitik, iaitu kewujudannya sekadar Pas 2.0? Benarkah pengasas AMANAH merupakan golongan yang kecewa kerana kalah dalam pemilihan Pas 2015? Betulkah AMANAH menganggap Pas adalah seteru kuatnya, sepertimana Pas menganggap AMANAH perlu “dibunuh” demi survivalnya? Apakah golongan asatizah tiada tempat dalam AMANAH dan kedudukan Majlis Penasihat Pakar jauh lebih rendah berbanding Majlis Syura Ulama Pas? Jika Ustaz Abdul Hadi Awang tidak lagi memimpin Pas, maka AMANAH boleh sahaja dibubarkan dan kembali bergabung? Mengapa AMANAH begitu mudah menerima Dr Mahathir Mohamad? Apakah tiada syarat ketat untuk AMANAH mengadakan kerjasama politik dengan pihak luar? Jika Pakatan Harapan menang PRU- 14, apa sumbangan AMANAH dalam kerajaan baru terutama dari segi memartabatkan agenda Islam, memandangkan jumlah kerusi Parlimen yang diperuntukkannya agak kecil? Bagaimana AMANAH mahu memastikan janji-janji perubahan, reformasi dan pembaharuan dapat dijalankan sebaiknya? Dan sekiranya PH gagal, mungkinkah masa depan AMANAH turut gelap dan berkubur? Mampukah ia mengisi kelompongan Pas? Mengenali sosok pendiri AMANAH sejak lama sehinggalah semasa mengadakan sesi wawancara untuk buku ini, saya terkesan dengan sikap terbuka, berterus-terang dan jujur, serta merendah diri. Termasuk presidennya Mohamad Sabu, yang sedia mengakui kelemahan dan berbicara dengan bahasa yang mudah, tiada gagasan yang sukar difahami tetapi sarat dengan tekad untuk bersama-sama membentuk tamadun baru Islam yang gemilang. Idea tentang pemerintahan berakhlak, urustadbir yang telus dan berintegiriti, perangi korupsi, sentiasa menjadi basahan lidah. Penasihat Umum, Ustaz Ahmad Awang, yang menjelaskan amalan demokratik dalam pembentukan Majlis Perundingan Pakar dan kesilapan memperuntukkan kuasa yang besar kepada Majlis Syura Ulama Pas. Salahuddin Ayub mengimbau pengalaman berharga penuh berhikmah bekas Presiden Pas, Almarhum Ustaz Fadzil Mohd Noor ketika menangani tragedi pemecatan Anwar Ibrahim. Demi maslahat jangka panjang, Ustaz Fadzil menggalakkan Anwar menubuhkan parti baru berbanding menyertai Pas kerana mahu meraikan penyokong bekas TPM itu yang mempunyai pelbagai latar belakang. Sesungguhnya dihuraikan oleh ramai pemimpin dan penganalisis, bahawa AMANAH adalah warisan Pas yang diterajui Ustaz Fadzil dan Tok Guru Nik Abd Aziz Nik Mat. Ia adalah rantaian kesinambungan perjuangan yang panjang berliku. Buku ini turut memuatkan wawancara eksklusif dengan Pengarah Strategi, Dr Dzulkefly Ahmad, Pengarah Komunikasi, Khalid Samad, penganalisis politik, Dr Mazlan Ali dan Setiausaha Keadilan, Saifuddin Nasution. Pengalaman bersama-sama menubuhkan AMANAH juga dikongsi oleh pimpinan parti, Dr Mujahid Yusof Rawa, Anuar Tahir, Hanipa Maidin, Dr Muhaimin Sulam dan Ustaz Zolkharnain Abidin. Saari Sungib memberikan komentar tentang jati diri parti Islam, manakala kronologi susur-galur parti disediakan wartawan Nazri Abdullah. Bekas pengarang Harakah, Zin Mahmud dan Zulkifli Sulong, serta kolumnis Lim Hong Siang turut mencatatkan pengalaman dan pemerhatian kritis. Dr Abdul Latif Ibrahim menyingkap gambaran global gerakan Islam dan relevansi AMANAH. Saya sekadar cuba menawarkan huraian dan penjelasan, terutama daripada pendiri parti sendiri, agar misi dan visi AMANAH lebih difahami umum. Sumber: Akhbar Amanah, Edisi 91 (25 Februari – 5 Mac 2018), ms 5
299 Shares