Indeks rasuah Malaysia semakin merudum

Minda Kanun
Baru-baru ini, Transparency International (TI) telah mengumumkan Indeks Persepsi Rasuah 2017 (Corruption Perception Index – CPI). CPI ini telah dikeluarkan setiap tahun semenjak tahun 1994. CPI ini telah membuat kajian ke atas 180 buah negara di dunia. TI telah menggunakan skala 0 hingga 100 yang mana skor 0 adalah paling korup dan skor 100 paling bersih. CPI ini menggunakan kajian yang dibuat terhadap komuniti bisnes di seluruh dunia termasuklah terhadap pakar, penganalisa risiko dan orang awam yang tinggal di negara berkenaan. CPI ini juga menggunakan paling kurang tiga sumber kajian bebas di negara berkenaan dan CPI Malaysia pula menggunakan sembilan sumber kajian yang berbeza. Ini menunjukkan kredibiliti CPI yang dibuat ini. Menurut laporan TI, tahun 2017 menunjukkan lebih dua pertiga negara tersebut mempunyai skor di bawah 50. Manakala, New Zealand dan Denmark menduduki tangga teratas bebas rasuah dengan skor 89 dan 88. Pada tahun 2017, Malaysia pula telah menduduki tangga ke 62 daripada 180 dalam CPI dengan skor 47 daripada 100. Pada tahun 2016, Malaysia menduduki tangga ke 55 dengan skor 49. TI juga melaporkan bahawa tahap CPI Malaysia adalah sama dengan negara Cuba. Skor yang diperolehi pada tahun 2017 adalah skor yang paling corot pernah diperolehi semenjak 5 tahun lepas. CPI 2017 (Asean)Di kalangan negara Asia Tenggara, Malaysia (Ranking 62: Skor 47) menduduki tangga ketiga di bawah Brunei (Ranking 32: Skor 62) dan Singapura (Ranking 6: Skor 84). Indonesia dan Thailand pula menduduki tangga keempat dengan ranking 96 dan skor 37. Di kalangan negara Islam, Emiriyah Arab Bersatu adalah negara paling kurang korup dengan ranking 21 dan skor 71. Qatar menduduki tangga kedua di kalangan negara Arab dengan ranking 21 dan skor 63. TI juga menyatakan bahawa isu 1MDB dan derma RM2.6 billion, skandal FELDA, rasuah air di Sabah adalah punca utama ranking Malaysia jatuh 7 anak tangga. Tambahan lagi, sabitan ke atas YB Rafizi Ramli dalam isu NFC telah menjadi punca masyarakat awam, pelabur asing dan komuniti bisnes telah hilang kepercayaan terhadap Malaysia. Meskipun begitu, TI menyatakan bahawa jika tidak kerana tindakan agresif SPRM untuk melakukan siasatan dan pendakwaan maka ranking Malaysia akan jatuh lebih teruk. Dalam respon segera Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad, beliau menyatakan kejutan bagaimana ranking Malaysia telah jatuh dengan teruk sedangkan SPRM telah menjalankan tugasnya dengan baik. Beliau juga dilaporkan berkata bahawa SPRM akan membuat kajian untuk membuat indeks CPI tersendiri bagi Malaysia. Respon balas Ketua Pesuruhjaya SPRM itu telah disambut negatif oleh masyarakat yang menganggap idea untuk mencetuskan CPI khas bagi Malaysia adalah melucukan sedangkan Malaysia perlu bersaing di peringkat antarabangsa. Bagi Pakatan Harapan (PH), isu rasuah ini adalah antara salah satu daripada tujuh inisiatif segera yang akan dibuat dalam tempoh 100 hari jika PH dipilih menjadi kerajaan baru di Putrajaya selepas Pilihan Raya Umum ke 14. Isu rasuah ini jika tidak ditangani segera akan menjadi barah yang akan merosakkan ekonomi Malaysia dalam tahun yang mendatang. Walaupun kerajaan cuba menunjukkan SPRM telah melakukan tindakan agresif dalam memerangi rasuah tetapi tindakan tersebut masih belum mencukupi. Isu pokok berkaitan 1MDB dan skandal RM2.6 bilion itu masih belum ditangani. Terbaharu kenyataan Tan Sri Irwan Serigar, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Kementerian Kewangan bahawa 1MDB akan digulungkan selepas segala hutang diselesaikan tidak menambahkan keyakinan masyarakat awam dan pelabur. Hakikatnya, kerajaan BN sekarang tidak mampu untuk menangani isu rasuah dan satu-satu caranya untuk memulihkan CPI ini adalah dengan menjatuhkan kerajaan BN dalam PRU-14. Sumber: Akhbar Amanah, Edisi 92 (4-10 Mac 2018), ms 9
7 Shares