Derita, luka rakyat tidak terawat
Apa yang dideritai oleh rakyat miskin di negara ini sekarang amat keterlaluan sekali. Apa yang sering dilaungkan oleh Anwar Ibrahim sewaktu memimpin gerakan belia dahulu bahawa di negara ini “yang kaya bertambah kaya, yang miskin papa kedana” adalah sebuah kenyataan yang sedang berlaku dari dahulu hingga kini.
Teringat saya pada seorang sahabat, seorang penulis prolifik Azizi Haji Abdullah yang menulis sebuah buku yang semasa hidupnya dihadiahkan kepada saya. Buku berjudul Luka Rakyat terbitan Persatuan Pengguna Pulau Pinang amat mengesankan.
Di pembukaannya beliau menulis:
“Malah Forbes melaporkan ada enam orang paling kaya di dunia, termasuk seorang tua yang hanya mampu bertongkat dan terketar-ketar kerana lesu dan letih tua. Namun apabila ditanya, dia mahu hidup seribu tahun lagi, untuk mengaut kekayaan demi masa tuanya.
“Kenapa dengan miskin? Biarkan! Pedulikan! Jangan tanya kenapa, mengapa atau apa-apa. Yang nyata jurang di antara negara di dunia terutama Utara-Selatan menjadi semakin terkerenyuk…
“Bagaimana masa kini? Tunggu sakit, siapkan kapan, baca yasin ketika nazak kemudian kapan. Titik”
Bayangkan pemegang Bonuslink mencapai RM7 bilion. Orang seperti ini tak kisah jika membeli kerusi urut Fella Design bernilai RM6,999. Si miskin papa kedana? Jangankan nak makan pizza, nak beli kacang kuda pun kena fikir tiga kali. Habis bagaimana?
Ah! Jawabnya apa yang anda nampak di tepi jalan dan di ladang, di laut dan di bukit, di pinggir bandar dan rumah setinggan, itulah kemiskinan. Manakala mereka yang berkuasa, terus menguasai dengan cara yang pelbagai, termasuk melukakan rakyat bawahan.
Dalam laporan UNICEF Malaysia, “Children Without: A study of urban child poverty and deprivation in low cost flat in Kuala Lumpur” (Feb 2018), sejumlah 97% daripada isi rumah yang ditemui di rumah-rumah flat rakyat mengatakan bahawa harga makanan yang tinggi menghalang mereka dari menyediakan makanan berkhasiat kepada anak-anak mereka.
Satu dari dua isi rumah tidak mempunyai wang yang mencukupi untuk membeli makanan, 15% daripada mereka kerap mengalami hal ini. Seorang responden memberitahu kepada enumerator, “Percaya atau tidak, sekarang ini ada sekilo beras saja di rumah saya”.
Tun Dr Mahathir Mohamad mengatakan pada kata pengantar Buku Harapan, manifesto PH untuk pilihan raya umum ke-14 (PRU14) bahawa manifesto ini komprehensif dan meliputi setiap perkara yang penting bagi rakyat yang banyak terutamanya golongan yang memerlukan.
Sepanjang masa kami bersedia ditegur dan mendengar pendapat rakyat. Dalam manifesto PH pada teras pertama: Meringankan bebanan kehidupan rakyat; Pakatan Harapan beriltizam untuk meringankan bebanan rakyat dengan melaksanakan janji-janji yang terkandung di dalam buku ini dengan penuh tanggungjawab iaitu;
1. Menghapuskan GST
2. Menurunkan tekanan kenaikan harga yang membebani rakyat
3. Berkongsi kekayaan negara secara bersasar
4. Menambah program perumahan mampu milik dan mampu sewa
5. Meringankan beban hidup yang ditanggung oleh anak muda
6. Menghapuskan kutipan tol
7. Menyediakan subsidi minyak bersasar
8. Memperbaiki kualiti dan liputan pengangkutan awam
9. Mempertingkat akses dan kualiti perkhidmatan kesihatan
10. Menjamin keperluan makanan asas rakyat dan menjaga kebajikan petani
Kami percaya sekiranya semua ini dapat dilaksanakan setelah Pakatan Harapan diberikan mandat, keadaan kemiskinan yang meruncing dalam masyarakat di negara ini boleh diperbaiki.
Luka rakyat yang disebut oleh Azizi Abdullah akan dapat dirawat sekiranya pemerintah mempunyai komitmen untuk menentang dan membasmi kemiskinan.
Azizi Abdullah memetik beberapa rangkap pantun untuk menggambarkan betapa rakyat miskin boleh diperlakukan bagaimana sahaja apabila pemerintah tidak mempunyai rasa kemanusiaan yang tinggi.
Luka rakyat memang menghiris rasa;
Di sini hilanglah pandan,
Penjahit penebas lalang,
Di sini hilanglah badan,
Sudah ghaib mata memandang.
Zaman dahulu bertikar pucuk,
Zaman ini bertikar mengkuang,
Zaman dahulu kita dipujuk,
Zaman ini kita dibuang.
Mengkuang kononnya kayu Petani,
Tersandar di kayu kelat,
Terbuang sudah rupanya kami,
Bagai ikan di luar belat.
PRU14 yang jika dimanfaatkan oleh para pengundi dengan sebaik-baiknya akan dapat merawat dan mengubat derita rakyat–luka rakyat. Jangan tersilap pilih untuk sekian kalinya. Rakyat miskin, melarat dan papa kedana boleh berdaulat sekiranya menggunakan kuasa undi yang keramat itu.
Penulis ialah Setiausaha Agung AMANAH.
Sumber: Akhbar Mingguan Amanah Edisi 97 (8-14 April 2018), ms 27