Demokrasi mengangkat daulat rakyat dan khaira ummah

Anuar Tahir
Seperti yang sering saya katakan sebelum ini, hidup ini tidak bermakna sekiranya rakyat atau umat tidak berada di tempat mulia di dalam negara. Kita juga tahu bahawa majoriti pemikir dan penggerak umat menerima demokrasi sebagai jalan atau wasilah mengangkat martabat rakyat. Menerusi demokrasi rakyat boleh digerak untuk mendaulatkan dirinya. Demokrasi juga bakal membebaskan rakyat dari berminda mentimun. Demokrasi dapat menyelamatkan rakyat dari budaya takut yang menjerat dan menjerut diri mereka. Oleh itu sekiranya demokrasi dapat dituangkan ke dalam jiwa dan pemikiran rakyat terbanyak ia bakal merubah cara berfikir dan bertindak mereka. Strategi ‘pembodohan rakyat’ oleh sang penguasa tidak akan dapat disuburkan sekiranya gerakan pendaulatan rakyat berjalan di negara ini. Tokoh di alam Melayu yang pertama memperkenalkan konsep daulat rakyat, Bung Hatta pada 20 September 1931 yang menggariskan makna konsep ini dalam pendahuluan terbitan sulung majalah Daulat Rakyat seperti berikut: Bagi kita rakyat itu yang utama, rakyat umum yang mempunyai kedaulatan, kekuasaan (souvereiniteit) kerana rakyat itu jantung hati bangsa. Dan rakyat itulah yang menjadi ukuran tinggi rendah darjat kita. Dengan rakyat kita akan naik dan dengan rakyat kita akan turun. Demokrasi juga dapat mengelakkan dari kediktatoran dan kezaliman. Seperti yang diungkapkan oleh Sheikh Dr. Ahmad Al-Raisuni dalam bukunya Syura Dan Demokrasi Dari Perspektif Maqasid Al-Syariah: Sebahagian pemimpin sebenarnya tidak berniat untuk muncul sebagai seorang diktator, tetapi sikap dan perasaan itu tumbuh sedikit demi sedikit. Apabila orang yang memegang kuasa dibiarkan berfikir, bertindak, membuat keputusan, menyuruh dan melarang secara bersendirian tanpa ada yang menegur, menasihati dan membangkang, maka apakah yang didapati darinya selain kediktatoran dan kezaliman? Firman Allah SWT dalam surah al-Alaq, ayat 6 yang bermaksud: “Ketahuilah! bahawa manusia tetap melampaui batas (yang sepatutnya atau yang sewajibnya).” Bukankah inilah yang telah membuatkan Firaun menjalankan pemerintahan dan berhubung dengan manusia seperti Firman Allah SWT dalam surah Ghafir ayat 29 yang bermaksud: “Musa berkata: ‘Wahai kaumku! Pada hari ini kepunyaan kamulah kuasa memerintah dengan bermaharajalela di muka bumi (Mesir dan sekitarnya; tetapi kiranya keadaan bertukar) maka siapakah yang akan membela kita dari azab Allah kalau azab itu datang menimpa kita?’ Firaun berkata: ‘Aku tidak mengesyorkan kepada kamu melainkan dengan apa yang aku pandang (elok dijalankan), dan aku tidak menunjukkan kepada kamu melainkan jalan yang benar.'” Setiap orang diktator menggunakan kaedah yang sama, sama ada mereka mengakuinya ataupun tidak. Sebagaimana syura melindungi rakyat daripada kediktatoran pemimpin, maka syura juga melindungi pemimpin daripada kecondongan untuk menjadi diktator yang sedia tersemat di dalam dirinya. Apabila kita membaca firman Allah SWT dalam surah al-Zukhruf ayat 54 yang bermaksud: “(Dengan yang demikian) maka Firaun memperbodohkan kaumnya, lalu mereka mematuhinya; sesungguhnya mereka itu adalah kaum yang fasik (derhaka).” Perlembagaan Mesir dan Tunisia yang ditulis semula pada 2014 telah memasukkan peruntukan yang antara lain berbunyi, “Kedaulatan itu hanya milik rakyat”. Kedaulatan rakyat yang kita bicarakan pada masa ini harus dikaitkan dengan konsep Islam “khaira ummah” seperti firman Allah SWT dalam surah Ali ‘Imran ayat 110 yang bermaksud: “Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf, dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah.” Khaira ummah merujuk kepada umat yang unggul, umat yang mulia, umat yang terhormat bukan umat atau rakyat yang boleh diperlecehkan. Dengan lain perkataan tiada siapa dari kita boleh mendakwa kita adalah umat terbaik sekiranya kita tidak memiliki kedaulatan. Seperti mana yang pernah dibicarakan oleh guru saya, Dr Siddiq Fadhil bahawa khaira ummah itu tidak menepati maksudnya apabila rakyat atau umat berada dalam suasana pembodohan dan perlecehan. Umat yang ‘khair’ adalah umat yang unggul dan berdaulat, yang memiliki kehormatan, yang memiliki harga diri. Khaira ummah menurut Za’ba, adalah wajib mendapat kejayaan bagi umat. Pendeta Za’ba mengungkapkan firman Tuhan dari surah Al-Mulk ayat 2 yang bermaksud: “Tuhan yang telah menjadikan hidup dan mati kerana ia hendak menguji, mencuba kamu siapakah daripada kamu yang lebih baik kerjanya.” Kehidupan dalam dunia ini adalah kehidupan beramal atau bekerja, kehidupan berjuang dan berlawan-lawan seperti dalam perlumbaan. Tiap-tiap seorang hendaklah menjalankan bahagiannya sendiri dengan tidak bergantung kepada orang akan menyempurnakannya. Ia sendiri mestilah merasa bertanggung jawab bagi menyempurnakan kewajipan dirinya dan tanggungan dirinya dalam perjuangan dan perlumbaan itu. Maka yang akan menang dalam perlumbaaan itu hanyalah orang yang tetap, tekun dan sabar dalam menjalankan kerja-kerja kewajipannya itu dengan bergantung kepada ikhtiar dan daya upaya dirinya sendiri dan memohon pertolongan hanya kepada Allah sahaja. (Perangai Bergantung Kepada Diri Sendiri: Za’ba – Edisi Khas Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur 2009) Oleh itu apa yang diperkatakan oleh Za’ba di atas tidak akan mungkin berlaku sekiranya anggota masyarakat atau rakyat tidak berada dalam golongan umat terbaik, khaira ummah itu. Apakah semua ini dapat dilaksanakan kalau rakyat masih dibelenggu, diikat oleh suasana dan keadaan “jiwa hamba” atau “minda tawanan”. Umat tidak menjadi khair dan umat akan terus luka kalau ia tidak dirawat oleh perjuangan pembebasan. Jiwa hamba, minda tawanan digantikan dengan jiwa merdeka seperti mana yang sering kita laungkan petikan puisi-puisi Burhanuddin Al-Helmy, “Di atas robohan Kota Melaka, kita dirikan jiwa merdeka”. Umat tidak dapat melaksanakan amal soleh tanpa berada dalam kebebasan, berdaulat tidak terikat atau dikongkong oleh mana-mana kuasa. Hanya umat yang khair sahaja yang dapat melaksanakan amal soleh sebagai perbuatan baik oleh manusia sesuai dengan fitrah manusia yang mampu membedakan antara baik dan yang buruk. Manusia yang bebas dapat menyesuaikan diri dengan panggilan jiwa dalam memenuhi segala keperluan dan sentiasa berada dalam lingkaran kasih sayang. Sekali lagi tidak mungkin amal soleh itu boleh dilaksanakan oleh mana-mana umat yang tidak memiliki keunggulan, kebebasan dan kedaulatan. Memetik dari Dr Akram Kassab dalam kitabnya “Al-Intikhabat: Ahkam wa Dawabit” sesungguhnya pilihan raya dalam sistem demokrasi itu adalah satu proses penyaksian. Sebahagian sarjana pula berpandangan bahawa pilihan raya adalah mirip dengan penyaksian atau pencadangan. Ini kerana setiap individu rakyat dipinta untuk memberi penyaksian ke atas calon, adakah ia layak atau tidak atau memberi kesaksian kepada individu tertentu. Orang pertama yang menyatakan pandangan sebegini ialah Syeikh Hasan al- Banna. Sebenarnya, penulis menganggap pada asalnya datang dari Dr. Yusuf al-Qaradawi, namun setelah itu ternyata gurunya (al-Banna) telah dahulu mengutarakan idea ini. Al-Qaradawi selepas itu mengembangkan idea gurunya dan ini tidaklah pelik kerana mereka berdua berasal dari aliran yang satu. Pandangan ini juga dipegang oleh individu lain seperti Dr. Munir Al-Bayati, Dr. Ahmad At Toyyib dan Dr. Ali Jumaah. Hasan al-Banna berkata: “Perlu diketahui bahawa memberikan suara (undi) adalah penyaksian yang akan dipertanggungjawabkan kelak. Justeru, gunakanlah ia dengan hati dan akal yang rasional. Jadilah orang yang bebas dalam menegakkan kebenaran serta berani memilih pihak yang terbaik.” Al-Qaradawi pula berkata: “Sistem pilihan raya atau pungutan suara yang wujud hari ini menurut pandangan Islam adalah merupakan penyaksian terhadap kebolehan dan kelayakan seseorang calon. Justeru, golongan pemilih perlu memiliki syarat-syarat kelayakan seperti bersifat adil dan baik pekerti sebagai mana ianya juga perlu ada pada diri calon.” Menjadi tanggungjawab semua untuk meyakinkan rakyat bahawa menerusi demokrasi kita sebenarnya menegakkan digniti atau kehormatan. Menegakkan ‘Daulat al-Ummah’ memerlukan penyertaan para penggerak sosial agar fiqh prodemokrasi dapat digarap. Para ahli politik pula bertanggungjawab membuka ruang partisipasi rakyat. Pendidikan politik dan demokrasi hendaklah berlaku secara teratur dan aman. Rakyat perlu didorong untuk mengguna dan memanfaatkan sebarang tindakan berasaskan kefahaman, persetujuan dan bukan paksaan, dengan kata lain ‘tindakan secara sukarela’. Demokrasi menekankan dialog, perundingan, tawar menawar, negosiasi dan akhirnya membawa kepada kerjasama rakyat secara sukarela. Jelas menerusi sistem demokrasi kita bakal membina kualiti pengikut, penyokong di kalangan rakyat yang mantap. Tegaklah daulat rakyat untuk memaknai khaira ummah. Penulis ialah Setiausaha Agung AMANAH. Sumber: Akhbar Amanah, Edisi 92 (4-10 Mac 2018), ms 27
69 Shares