Dahan apa yang dipaut mereka?

Adam Adli
Saya teringat getus seorang teman dari kampung lama dahulu; bahawa menyertai politik adalah perkara yang bodoh dan sia-sia. Di saat penyokong parti masing-masing di bawah bertikam lidah sehingga tidak bertegur jiran tetangga, pemimpin di atas bersenang-lenang mengira hasil, baik pembangkang mahupun yang dibangkang. Bagi beliau, lebih baik menjaga nasib sendiri daripada melihat ke arah politik. Politik adalah perkara sia-sia yang boleh diabaikan. Apa yang beliau katakan mungkin tidaklah salah sepenuhnya, namun saat itu saya sama sekali tidak berkenan dengan apa yang dituturkan. Masakan tidak, bukan sahaja saya waktu itu baru mencecahkan kaki ke dalam arus deras politik negara, malah yang menuturkan itu sendiri bukanlah orang yang dikenali mempunyai sebarang pengetahuan politik. Ia hanyalah alasan malas yang bunyinya sedikit bijak. Entah dari mana didengarnya, lalu digunakan sebagai alasan untuk terus menjadi buta politik. Tidaklah pula saya cuba untuk membetulkan beliau. Bukan kerja saya untuk membetulkan pendapat yang sudah diimani penuh oleh seseorang, kecuali kalau mereka sendiri mahu dicabar pegangan mereka. Malah saya tidak pun berniat untuk cuba-cuba berdakwah ke atas beliau agar celik politik dan tidak lagi ketinggalan arus. Buat apa diganggu kebahagian fikiran beliau? Saat tersebut dibiarkan sahaja berlalu, namun ia kekal melekat dalam kotak fikiran saya. Bukan soal buta politik dalam kalangan masyarakat yang membuatkan saya teringat kepada beliau kembali. Saya yakin masyarakat hari ini tidak lagi buta politik. Tidak mudah pun untuk menjadi buta politik. Setiap perkara dari jual beli di pasar tani sehinggalah ke khutbah Jumaat dan kuliah Maghrib di masjid-masjid sudah diresapi dengan pelbagai bentuk wacana politik. Setiap perkara kini terpalit dengan politik. Air balang di pasar malam pun sudah ada yang mewarnakannya mengikut parti-parti politik. Yang membuatkan saya teringat kepada beliau dan apa yang dituturkannya adalah kalau benar politik itu boleh diabaikan, seperti yang dilakukan beliau dan yang lain; dahan apakah yang menjadi tempat mereka berpaut? Tentulah tidak adil kalau sudut pandang saya cuba diselaraskan sama dengan beliau. Jatuh bangun kehidupan saya memang sudah bergantung terus dengan politik. Namun paling tidak pun, ringgit dan ekonomi kita sendiri sentiasa berpaut kepada politik. Tidakkah ada sedikit rasa pada mereka untuk menoleh kepada politik apabila bercakap soal menentukan nasib hidup mereka? Golongan yang terputus dari mata rantai politik ini bukan sedikit bilangannya. Dan mereka juga tidak semestinya adalah orang yang memang sedia meluat dengan politik dan kerumitannya. Golongan terperosok nun jauh dari kampung-kampung di pedalaman misalnya; yang langsung tidak terlibat dengan sebarang wacana politik, apa dahan tempat mereka berpaut? Mereka ini bukan sahaja tidak terlibat dengan politik, politik itu sendiri sentiasa tidak melibatkan mereka. Begitu juga dengan golongan imigran yang ke sini mencari rezeki, hidup bergenerasi tanpa terlibat langsung dengan hiruk pikuk politik kita. Apa dahan yang dipaut oleh mereka? Apakah golongan sebegini sekadar membiarkan sahaja nasib mereka tenggelam timbul mengikut pasang surut politik tanpa ada sedikit pun rasa untuk mengawalnya? Apakah memang benar bahawa tidak semua kita ini memerlukan politik untuk terus hidup? Sedangkan orang asal di negara ini yang sudah lama hidup terasing daripada yang kita gelar ‘ketamadunan’ pun akhirnya terlibat aktif dalam mempengaruhi politik yang dirasakan mereka menjejaskan kelangsungan hidup mereka, bagaimana pula dengan golongan yang terang-terang bergantung hidup dengan ringgit yang sentiasa terkesan dek politik? Tanda tanya sebegini akan sentiasa membuatkan saya terfikir, apakah benar politik benar-benar boleh diabaikan? Jika benar, apa dahan yang ada untuk dipaut? Buat masa sekarang, saya masih tidak bertemu jawapan, maka saya akan terus berpaut pada dahan politik. Biarpun kalau ada seperti teman tadi yang mengatakan ia adalah sia-sia, ia adalah kebahagiaan saya. Sumber: Akhbar Amanah, Edisi 89 (11-17 Februari 2018), ms 21
0 Shares