‘Apa bendanya perubahan ini?’

Adam Adli
Hampir kesemua kita yang berada di ‘belah sini’ ini berjuang untuk sebuah perubahan besar buat negara yang kita diami bersama ini. Baik yang menganggotai parti-parti politik, badan masyarakat sivil, mahupun individu persendirian yang berjuang dalam ruang dan batas sendiri. Kesemua kita mahukan sebuah negara yang lebih baik untuk kita dan masyarakat sekeliling. Apabila bercakap tentang perubahan, ia adalah hal yang agak memeningkan untuk dihurai. Untuk orang-orang yang terlibat politik kepartian sendiri pun, kata perubahan itu masih kadang-kadang samar ertinya, apa lagi buat masyarakat awam yang hanya mendengar jeritan perubahan itu dihala ke atas mereka. Dalam kalangan kutu-kutu politik termasuklah diri saya juga, ada yang menganggap perubahan itu adalah kejayaan membentuk kerajaan dan Perdana Menteri baharu, atau menumbangkan rejim yang sedang masih berkuasa. Ada yang lebih cermat, melihat perubahan itu sebagai detik apabila dasar-dasar yang diperjuangkan mereka dapat dilaksana, tanpa begitu berkira tentang individu atau badan mana yang membawanya. Dalam kalangan kutu-kutu politik ini juga, ada yang lebih bersentimental, keras dan cekal dengan romantika perjuangan dan ideologi. Perubahan bukan lah perkara yang nyata dan zahir, sebaliknya lebih abstrak dan tinggi tingkat falsafahnya. Mungkin perubahan itu adalah apabila ideologi (atau mungkin retorik) yang dibawa masing-masing akhirnya berjaya diterima dan diangkat tinggi mengalahkan ideologi lawan. Mengubah kerajaan tanpa ada perubahan ideologi yang membayangi sistem tidak boleh dianggap sebagai perubahan. Gerakan masyarakat sivil arus perdana, yang lazimnya berkampung di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Damansara, George Town dan beberapa bandar besar yang lain karakternya agak mirip dengan kutu politik yang terakhir disebut tadi. Keras, teguh, dan tidak ada kompromi. Ada pandangan perubahan yang rasional dan wajar diterima – hak pendidikan, makanan, pendapatan, perumahan dan sebagainya. Namun tidak kurang juga yang agak sewel sebenarnya. Yang sewel ini menganggap kesemua nilai yang sedia terbentuk oleh masyarakat kita hari ini adalah salah dan harus diubah secara total tanpa mengambil kira latar masyarakat tersebut sendiri. Nilai bahasa, budaya dan agama, nilai ekonomi dan sosial; kesemuanya salah dan bermasalah mengikut neraca mereka. Bukan memperkecilkan agenda yang dibawa; apatah lagi agenda mereka itu diiktiraf oleh selebriti terkenal yang menjadi duta badan-badan masyarakat sivil lain dari kota London dan New York, namun bagaimana rasionalnya dipernilaikan?
Malaysia mesti diselamatkan daripada kehancuran dengan menukar kerajaan persekutuan dalam PRU 14.
Malaysia mesti diselamatkan daripada kehancuran dengan menukar kerajaan persekutuan dalam PRU 14.
Apabila berhadapan dengan masalah petani dan penoreh getah yang dipotong subsidi baja dan harga timbangan hasil mereka sehingga beras sekilo pun berhutang dengan peruncit kampung, rasionalkah untuk agenda seperti kebebasan berseksualiti dan penafsiran semula gender dipertimbangkan sebagai perubahan yang lebih penting untuk terus menerus disuap kepada wacana masyarakat terbanyak? Ia mungkin perubahan yang maha penting untuk anak-anak orang kaya yang rimas hidup dalam masyarakat yang kolot ini, namun tidak akan sama sekali mengisi perut orang miskin kampung pedalaman di daerah Sik sana. Atas masalah memahami kata perubahan tersebutlah, saya kira perubahan pun tidak mahu dan tidak akan kunjung tiba. Kita gagal menafsirkan perubahan agar ia diterima oleh semua. Kita gagal menguraikan maksud sebenar perubahan yang kita tuntut itu. Dalam mengurai maksudnya, tidak ada yang benar atau salah, tidak ada betul atau silap. Menafsirkan kata perubahan itu hanya perlu kena dengan cita-cita dan orang yang ingin kita bawa mengikut perubahan tersebut. Tidak wajar kalau perubahan itu terlalu cetek pengertiannya, dan tidaklah wajar pula jika terlalu dalam sehingga tidak mampu dihadam. Perubahan yang ingin kita bawa ini biarlah sesuai dengan apa yang bukan sahaja diperlukan, malah dikehendaki juga oleh masyarakat terbanyak akhirnya. Kita mungkin berakal luas, berfalsafah tinggi; namun kadang kala merendah diri itu tidak salah. Siapa tahu perubahan yang masyarakat ingin itu mungkin akhirnya cuma harga beras yang lebih murah agar tidak lagi perlu berhutang dengan kedai runcit untuk menyara perut anak bini. Sumber: Akhbar Amanah, Edisi 93 (11-17 Mac 2018), ms 21
23 Shares