RUU Antiberita Tidak Benar rompak kebebasan tegur pemerintah
Islam memperakui fenomena penjanaan akal melalui berbagai cara berfikir terhadap apa yang berlaku di sekeliling kita.
Antara saranan Nabi s.a.w. adalah menegur kezaliman pemerintah hasil pemahaman seseorang terhadap perkara yang menceroboh hak mereka dan hak orang lain. Sabda Nabi s.a.w.:
“Demi sesungguhnya hendaklah kamu mengajak kepada makruf dan mencegah daripada kemungkaran dan hendaklah kamu menyekat perbuatan penzalim dan membawanya kepada kebenaran dan meninggalkan kepalsuan.” (Abi Daud, Tirmizi)
Menurut para ulama, siasah adalah hak manusia berpartisipasi dalam urusan pemerintahan demi memelihara maslahat. Untuk berbuat demikian maka ruang memberi pendapat dan pandangan diiktiraf malah kebebasan menegur pemerintahan adalah hak walaupun pandangannya menyentuh perihal sang pemerintah.
KEBEBASAN MEDIA SOSIAL
Sememangnya media sosial punya dua wajah yang kontradik umpama raksasa mitos Rom bernama Janus, seperti yang digambarkan oleh beberapa penulis media sosial. Namun persoalannya apakah wajah baik dan buruk ini perlu dikekang ataukah memerlukan undang undang dan sekaligus mengancam prinsip kebebasan bersuara?
DILEMA UNDANG-UNDANG
Selalunya di atas nama antiberita palsu, kebebasan bersuara menjadi mangsa kerana tujuan perundangan tidak menjadikan asas kebebasan bersuara sebagai premis tetapi menjadikan perlindungan kepada pemerintah sebagai asas.
Premis ini bertentangan dengan asas bahawa kebebasan bersuaralah menjadi tunggak yang harus dipelihara oleh kerajaan yang memerintah bukan Kebebasan Bersuara tunduk kepada kehendak pemerintah.
Teknologi media sosial adalah tentang kepantasan maklumat yang boleh diakses oleh berjuta peserta pada waktu yang sama. Ia seumpama epidemik sama ada untuk kebaikan atau keburukan contohnya Twitter.
Media sosial tidak mengenali perbezaan antara baik dan buruk dalam penyebaran berita, malah Albert Einstein pernah berkata: “Menjadi sesuatu yang jelas mengejutkan bahwa teknologi yang kita cipta sendiri telah menjangkau garis nilai kemanusiaan”.
Sememangnya realiti ini adalah kebenaran yang menguasai masyarakat manusia hari ini. Seperti yang digambarkan oleh beberapa penulis:
Walaupun demikian para pengamal dan penggubal undang-undang amat berhati-hati untuk tidak hilang arah dalam memastikan eksploitasi sosial media tidak semuanya dibuat pelabelan umum bahawa ianya merosakkan kerana khuatir rumusan ini menjejaskan prinsip kebebasan bersuara yang merupakan mercu tanda ketamadunan.
Hanya kebebasan bersuara yang melahirkan masyarakat yang huru hara perlu diberi pengecualian melalui proses perundangan yang adil bagi memutuskan mana yang merosakkan dan mana yang membina.
PIAWAIAN FITNAH DAN PALSU
Dalam soal berita fitnah dan palsu, piawaian ‘niat sebenar’ memastikan perlindungan terhadap kebebasan mengkritik tokoh awam dan pegawai awam dan tanggungan bukti sama ada ia fitnah atau benar terpikul oleh yang mendakwa jika ianya melibatkan kepentingan awam. Perlu dibezakan garis pemisah antara kenyataan palsu dan pandangan bebas, hanya kenyataan palsu yang boleh diambil tindakan bukan kebebasan pandangan.
Malangnya hari ini di Malaysia, kepentingan awam yang menjadi persoalan seperti 1MDB tidak disampaikan secara telus malah parlimen sendiri disekat daripada mendapat maklumat sebenar.
Pihak yang bertanggungjawab terhadap menguruskan keadilan dan undang-undang Peguam Negara diikat oleh eksekutif manakala media kawalan kerajaan tidak memberitakan secara adil.
Laporan Ketua Audit tentang 1MDB disekat dengan Akta Rahsia Rasmi (OSA). Bagaimanakah kita boleh mempercayai bahawa Akta Antiberita Tidak Benar benar-benar berniat untuk memelihara sebaran berita-berita palsu? Jikalau maklumat disembunyikan, bagaimana kita menyekat orang ramai membuat andaian tersendiri lalu menuduh ianya palsu?
PENYALAHGUNAAN KUASA
Perlembagaan Persekutuan memastikan kebebasan bersuara sebagai hak asasi kepada setiap rakyat Malaysia. Tujuan RUU Antiberita Tidak Benar ini tidak mengambil kira garis pemisah antara kebebasan memberi pandangan dan kepalsuan berita, seolah-olah ia ‘merompak’ hak mengkritik salahguna kuasa pemerintah.
Kejujuran kerajaan dalam memelihara kebebasan bersuara sepatutnya memperkenalkan Akta Kebebasan Maklumat bukan Akta Antiberita Tidak Benar yang seolah-olah menolak jarum jam ke belakang. Kegagalan menentukan garis pemisah antara cetusan keganasan dengan pandangan yang keras akan menjejaskan prinsip hukum berjalan dengan betul.
Bezanya pemerintahan demokrasi dan pemerintahan kuku besi adalah kebebasan pandangan. Kita mungkin tidak suka mendengar pandangan yang berbeza dengan kita tetapi tetap perlu memelihara hak seseorang untuk berbuat demikian.
RUMUSAN
RUU Antiberita Tidak Benar datang dalam suasana mencurigakan apabila dalam suasana sekarang kebebasan media disempitkan. Malaysia berada di tangga ke-144 daripada 180 negara dalam kebebasan media oleh Reporters Without Border.
Reformasi institusi masih jauh dari sudut ketelusan dan akauntabiliti serta kebebasan maklumat yang disekat dalam isu-isu yang ada kepentingan awam dan menjejaskan kepercayaan awam.
Salah guna undang-undang sedia ada menimbulkan kebimbangan apakah akta baru ini akan menjamin ia tidak disalahguna? Definisi berita palsu terlalu kabur dan lebih cenderung melindungi pihak berkuasa daripada melindungi kebebasan bersuara.
Saya bersetuju rakyat perlu dididik supaya tidak menyebar berita palsu atas nama kebebasan bersuara. Saya juga bersetuju kebebasan bersuara perlu dijalankan secara bertanggungjawab, tetapi saya tidak bersetuju undang-undang antiberita palsu digubal kerana ia lebih cenderung kepada melahirkan ugutan rasmi untuk melindungi pemerintah dan salah laku yang disembunyikan kepada pengetahuan awam.
Dato’ Dr Mujahid Yusof Rawa ialah Naib Presiden AMANAH dan Ahli Parlimen Parit Buntar.
Sumber: Akhbar Mingguan Amanah, Edisi 97 (8-14 April 2018), ms 22