Kita wanita yang melakar perubahan

Dr Hafidzah Mustakim
Sejarah penglibatan wanita dalam jadi seandainya penyokong politik dan proses pemilihan kepimpinan negara bermula sejak zaman sebelum merdeka lagi. Pada era 50-an sekumpulan wanita menubuhkan Angkatan Wanita Sedar (Awas). Pada umumnya tujuan mereka ketika itu adalah untuk membangkitkan semangat menentang penjajah. Selepas kemerdekaan wanita terus mengorak langkah melibatkan diri dalam proses pilihan raya. Penglibatan ini boleh dikategorikan sebagai penglibatan umum seperti penyertaan sebagai pengundi, juru kempen mahupun ahli parti atau pertubuhan. Penglibatan khusus pula adalah penglibatan langsung menjadi kepimpimpinan organisasi politik atau NGO serta menjadi calon dalam pilihan raya. Penglibatan secara khusus ini seterusnya melayakkan wanita untuk menganggotai badan pembuat dasar tertinggi negara dalam Dewan Parlimen dan Dewan Negara. Walaupun sudah berjuang selama lebih 60 tahun, penglibatan wanita dalam politik ini masih jauh dari sasaran 30% wanita dalam pembuat dasar tertinggi kerana bilangan anggota Parlimen wanita Malaysia hari ini baru mencapai 10.81 %. Usaha perlu terus dilakukan di pelbagai peringkat untuk menyediakan wanita dan masyarakat agar penglibatan wanita dalam proses demokrasi dapat dioptimakan kerana ia akan menambahkan kesejahteraan masyarakat keseluruhannya. Sebenarnya wanita memiliki keperluan khusus yang hanya dapat difahami dengan baik oleh mereka sendiri. Maka penyertaan wanita sebagai pembuat keputusan politik dapat mencegah dari berlakunya diskriminasi terhadap wanita yang selama ini sering terjadi dalam masyarakat di negara ini. Sebagaimana Setiausaha Agung Persatuan Ahli Parlimen Negara Komanwel (CPA), Akhbar Khan berkata (8 Julai 2017: Utusan), hanya ahli parlimen wanita yang berupaya membantu mengurangkan ketidakstabilan jantina dengan menggubal dan menguatkuasakan undang-undang membela hak serta kebajikan golongan berkenaan. Ahli parlimen wanita Beliau turut mendedahkan laporan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) yang mencatatkan bilangan ahli parlimen wanita di dunia mencecah 9,000 orang atau 23.3 peratus pada hujung tahun 2016. Ternyata jumlah itu telah meningkat dua kali ganda namun masih terlalu kecil jika diukur dengan peratusan kaum wanita yang ada. Lebih menyedihkan apabila bilangan ahli parlimen di peringkat negara-negara Komanwel pula dikuasai oleh golongan lelaki sebanyak 82 peratus manakala 17 negara di wilayah lain langsung tidak memiliki ahli parlimen wanita. Hanya 18 peratus ahli parlimen negara-negara Komanwel adalah wanita. Sehubungan itu, parti politik disaran menampilkan lebih ramai calon wanita pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) dalam usaha mencapai sasaran 30 peratus ahli parlimen wanita di negara ini. Ketika ini hanya 10.81 peratus atau 24 daripada 222 Ahli Dewan Rakyat adalah wanita, manakala di Dewan Negara, hanya 22 peratus ahlinya adalah wanita. Pengerusi Ahli Parlimen Wanita Komanwel (CWP), Datuk Dr Noraini Ahmad, berkata (7 April 2017: Berita Harian) sasaran 30 peratus ahli parlimen wanita untuk negara ini adalah selaras dengan matlamat yang ditetapkan di peringkat antarabangsa. Oleh yang demikian ketua-ketua kerajaan bagi negara Komanwel perlu mengambil tindakan bagi mencapai 30 peratus wanita sebagai penggubal undang-undang, iaitu sasaran yang sama diletakkan di Malaysia. Golongan wanita perlu melihat bidang politik sebagai cabaran besar, sejajar usaha Malaysia menjadi antara 20 negara maju menjelang 2050. Bidang kerjaya lain ramai wanita sertai tetapi dalam politik tidak begitu dan sesuatu perlu dilakukan. Tahukah kita, sebenarnya bukan sahaja Malaysia yang ingin mencapai 30% wanita di parlimen dan pembabitan dalam politik tidak hanya menjadi agenda di Malaysia, malah turut dilaksanakan di negara Komanwel. Menelusuri sejarah negara lain, realitinya hanya dengan jumlah yang signifikan, wanita mampu menghasilkan perubahan yang sangat bermakna untuk negaranya seperti perubahan kebijakan dan peraturan undang-undang yang turut memasukkan keperluan-keperluan khusus yang menjadi nilai tambah kepada wanita sebagai sebahagian daripada agenda nasional. Sosok pemimpin wanita Sesekali kita bercermin kepada sosok pemimpin wanita di pelbagai negara yang berhasil membawa dunia ke peringkat yang jauh lebih baik daripada biasa, tentunya sungguh menginspirasikan. Mungkin sahaja, kepimpinan negara untuk PRU14 akan datang, Malaysia dipimpin oleh wanita sebagaimana negara Republik Singapura? Paling tidak, Timbalan Perdana Menterinya wanita serta jemaah kabinetnya tidaklah sedikit di kalangan wanita sebagaimana barisan kabinet yang ada kini. Di India, Indira Gandhi perdana menteri wanita pertama negara itu berjaya membawa perdamaian. Walaupun kontroversi, kepemimpinan Indira Gandhi banyak membawa perubahan, salah satunya adalah memerangi kelaparan di India. Kelaparan kronik yang terjadi ini diperangi dengan cara memperkenalkan bibit unggul kepada para petani. Menariknya, di masa pemerintahan beliau, India juga mula mengembangkan teknologi nuklear. Pada masa kepimpinannya, Indira Gandhi berjaya membawa perubahan besar dalam program pertanian sehingga mampu menurunkan angka kemiskinan negaranya. Beliau juga menandatangani Perjanjian Shimla untuk menyelesaikan sengketa Kashmir secara damai. Selain itu ia juga memimpin sebuah gerakan yang disebut Revolusi Hijau untuk mengatasi kekurangan pangan kronis di Punjab. Wanita pertama yang memimpin sebuah negara Islam ialah Benazir Bhutto, pada masa pasca-kolonia. Beliau yang karismatik terpilih sebagai Perdana Menteri Pakistan pada tahun 1988 dan pernah dipaksa turun daripada jabatannya sebanyak dua kali. Di samping penolakan-penolakan yang terjadi, Benazir Bhutto berjaya mencatat sejarah sebagai pemimpin wanita muslim yang sangat berpengaruh! Apa yang menariknya, dalam kempen pilihan raya, beliau menyuarakan keprihatinan mengenai masalah-masalah sosial kaum wanita, masalah kesihatan dan diskriminasi terhadap wanita. Selain itu, beliau mengumumkan rancangan untuk membentuk pejabat polis wanita, kehakiman, dan bank-bank pembangunan khusus untuk wanita. Sebenarnya, banyak lagi contoh lain yang boleh kita hamparkan, akan tetapi dengan dua kisah ini, tentunya negara ini wajar memberi ruang dan peluang khusus untuk wanita memimpin dan menyerlah ke hadapan. Ya, sejak 1955 sehingga kini bilangan wanita di Parlimen terdapat peningkatannya. Jika pada tahun 1955, hanya seorang yang dipilih ke parlimen, dan hari ini kita dapat lihat ada 23 orang iaitu dalam lingkungan 10.4%. Hari ini, ada tiga menteri dan lima timbalan menteri wanita. Di Dewan Negara, 28.8% adalah senator wanita. Di rantau Asean, Malaysia berada pada kedudukan yang terkebelakang dengan peratusan 10.4 ini. Di Filipina contohnya, 27.3% anggota parlimen adalah wanita; Singapura (25.3%), Laos (25%); Vietnam (24.3%); Cambodia (20.3%); Indonesia (16.8%). Kedudukan Malaysia hanya mengatasi Thailand (6.1%) dan Myanmar (5.6%). Manakala di peringkat seantero, Rwanda mempunyai 63.8% wanita di Parlimen diikuti dengan Andorra (50%); Cuba (48.9%); Sweden (40.8%); dan Afrika Selatan (43%). Menelusuri sejarah lampau negara, banyak suara gah wanita mampu merubah corak politik negara. Ya, memang bukan mudah, namun tidaklah susah. Utamanya warga negara ini perlu diberikan pendedahan yang benar berkaitan politik. Bukan politik sampah, kotor dan busuk, sebagaimana yang berlaku kini. Setiap hari ada sahaja isu politik yang jengkel didengar. Dalam akhbar Straits Times pada 20 Julai 1947, artikel pertama Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di dalam kolum C.H.E Det adalah tentang ‘Malay Women Make Their Own Freedom’. Pada 1949, Datuk Onn Jaafar, presiden pertama Umno menyatakan suara wanita akan menjadi “as powerful as that of the men – the voice of both will determine the shape of the administration of the country”. Sebagaimana wanita telah memainkan peranan yang penting dalam pilihan raya seperti Khadijah Sidek dan Rahimah Abdul Rahman serta isteri dan anak perempuan pemimpin lainnya. Namun, tidak ada wanita yang turut serta dalam proses rundingan kemerdekaan sehinggalah pemilihan Halimahton Abdul Majid, calon Ulu Selangor dalam pilihan raya Majlis Perundangan Persekutuan pada tahun 1955 dan seterusnya Tan Sri Aishah Ghani menjadi Senator pertama pada 1962 manakala anggota Kabinet pertama wanita ialah Tun Fatimah Hashim pada 1969. Sungguh kita dapat lihat hari ini telah ada wanita yang rasional, bijak, berkemampuan, berintegriti dan bersedia untuk mengemudi kepimpinan baik di peringkat tempatan mahupun nasional. Akan tetapi kita perlulah berusaha untuk memberi pendedahan yang mudah tentang politik, agar masyarakat negara ini terbuka mindanya dalam membuat pilihan ketika pilihan raya nanti dalam membantu proses pembangunan negara. Maka wajarlah wanita Malaysia melibatkan diri dalam ‘pesta demokrasi’ yang akan berlangsung di negara ini. Bukan itu sahaja, wanita juga perlu menjadi kaum yang bersedia dan bersama-sama menyongsong perubahan yang lebih cemerlang bagi melakar sebuah ‘negara rahmah’ yang diidam-idamkan semua dengan merealisasikannya melalui peti undi. Dr Hafidzah Mustakim ialah Timbalan Ketua Penerangan, Wanita Pakatan Harapan Kelantan. Sumber: Akhbar Mingguan Amanah, Edisi 96 (1-7 April 2018), ms 28
0 Shares