
Perdana Menteri Najib Razak 13 Mac lalu mendakwa Malaysia bakal menjadi “negara defisit” kalau tidak ada cukai barangan dan perkhidmatan (GST).
Kalau beliau lupa, Malaysia sudahpun menjadi “negara defisit” di segi mengalami “defisit fiskal” melepasi dua dekad! Ada satu tafsiran ‘negara defisit’ yang akan saya sebut kemudian.
Sejak Najib mengambil alih pada 2009, “defisit fiskal” pada hakikatnya meningkat, bukan menurun kerana Najib menyembunyikan perbelanjaan pembangunan dalam belanjawan setiap tahun dengan cara “perbelanjaan di luar bajet” atau “off-budget” atau “off-balance sheet spending” untuk menurunkan angka defisit fiskal nisbah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Curang!
Berbilion ringgit dalam projek-projek pembangunan infrastruktur mega seperti MRT, ECRL dibuat di luar belanjawan, tetapi masih dijamin kerajaan.
Jumlah hutang seperti ini atau “contingent liabiliti” (CL) kini berjumlah RM226.88 bilion. Ini tetap dikira hutang kerajaan, andainya gagal dibayar. Hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berbilion ringgit, contohnya, yang dijamin terbitan berbilion bon oleh kerajaan, sekarang ini mesti dibayar oleh rakyat.
Hakikatnya, hutang kerajaan sebenarnya melepasi had statutori 55% KDNK! Hutang negara meningkat purata sebanyak 10.8%, sejak 2009, sementara pendapatan meningkat hanya pada kadar purata 4.9% setahun. Najib sedar ke tu?
Kini hutang kerajaan pusat ialah RM687.43 bilion. Pada kadar 10.8% pertumbuhan hutang, ramalan hutang kerajaan akan mencecah RM1 trilion pada 2021!
Najib jangan hendak temberang dan menakut-takutkan rakyat tentang Greece. Negara itu bankrap bukan hanya kerana masalah hutang tetapi kerajaan yang suka berhutang secara “disembunyi” macam Najib buat sekarang yakni berbelanja secara off-budget spending (CL). Aduh!
Jadi, isu sebenarnya adalah disiplin pengurusan kewangan yang jelek dan tempang oleh Najib. Ini hakikatnya.
“Perbelanjaan pengurusan” terus meningkat sejak 2009 dan peruntukan untuk Jabatan Perdana Menteri, contohnya, mengambil jumlah yang sebesar RM20 bilion.
Tabiat Najib juga suka membuat bajet tambahan, hampir dua kali setiap tahun sejak 2009! Perbelanjaan boros dan tidak efisien, serta tiris menjadikan sasaran mencapai ‘bajet berimbang’ atau ‘balance budget’ untuk tahun 2020, angan-angan sahaja.
Bayar faedah bunga hutang kerajaan pusat kini mencecah RM30 bilion berbanding RM12.9 bilion pada 2007. Perhatikan.
Ini bersamaan 13% pendapatan negara atau 75% daripada pungutan GST (RM40 bilion). Jadi, pungut GST adalah untuk bayar hutang! Alahai Najib!
Lalu, Najib sangat bermudah meningkatkan pendapatan kerajaan dengan cukai GST yang mencekik rakyat. Tak tambah lagi pendapatan, tarik pula subsidi atas barang-barang keperluan rakyat.
Akibatnya, rakyat terbeban dengan kenaikan kos harga barang dan perkhidmatan keperluan asas seperti makanan, pengangkutan dan kesihatan.
Pakatan Harapan (PH) sangat jelas bagaimana kami akan mengurus kewangan negara khususnya mengatasi “defisit” RM25 bilion ketika GST dihapuskan, dan SST diperkenalkan kembali.
Banyak kaedah untuk menjana pendapatan selain cukai penggunaan, GST. Tanpa memperkenalkan cukai baru seperti ‘Capital Gain Tax’ (CGT) atas saham dan lain lain keuntungan aset kewangan, kita telah kerap terangkan.
Sebagai contoh, menutup lubang-lubang kebocoran akan menyelamatkan berbilion ringgit dalam urusan perbelanjaan mega dan perbekalan pembangunan kerajaan. Tadbir urus baik dan telus, seperti kami buktikan di Selangor dan Pulau Pinang bakal menjana purata 20% penjimatan daripada seluruh perolehan kerajaan pusat.
Semakan kali terakhir, jumlah perbelanjaan perbekalan (bukan gaji) dan kenaan tetap adalah RM136 bilion! Ambil sahaja potensi penjimatan pada kadar 15%, maka kerajaan PH akan menjana RM21 bilion!
Begitu juga kerancakan ekonomi akibat rakyat yang tidak dicukai dengan GST, mengizinkan RM20 bilion yang tidak dirampas dek kerajaan dengan GST, boleh dibelanjakan rakyat sekali gus meningkatkan kuasa membeli atau “purchasing power” rakyat serta menjana kesan berganda (multiplier effect) dalam ekonomi.
Peningkatan permintaan (total aggregate demand) domestik dan isi-rumah, akan merancakkan bekalan (supply) oleh industri dan pengilang. Ini mampu meningkatkan keuntungan korporat dan bayaran cukai korporat yang lebih tinggi kepada kerajaan.
Najib buat-buat tidak faham perjalanan ekonomi atau mungkin sungguh tidak faham. Beliau mengambil jalan mudah untuk mencekik rakyat dengan kenakan GST dan tarik balik subsidi untuk meningkatkan pendapatan negara.
Mudah ceritanya, Najib perlu tahu status ‘negara defisit’ adalah lebih tepat lagi bersabitan ‘defisit keyakinan’ rakyat kepada Perdana Menteri dan kerajaannya!
Buat perbandingan, Kerajaan Indonesia di bawah Jokowi kini menduduki tempat pertama mengalahkan negara-negara maju OECD, apabila 80% rakyat Indonesia memberikan kepercayaan kepada kerajaan mereka! (Kajian ‘Govt at a Glance’, terbitan OECD, Gallup Poll, 2017).
Dengan tadbir urus ekonomi Najib atau Najibnomiks yang berjenama “4B” (bolot, bocor, boros dan bazir) itu, gunung pun boleh rata… Ya Najib, negara ini layak dinobat sebagai “negara defisit” dalam pelbagai aspek pemerintahan… Kasihan Negaraku!
Ayuh Bangun! Bina Semula Negara.
Dr Dzulkefly Ahmad ialah Pengarah Strategi AMANAH.
Sumber:
Akhbar Amanah, Edisi 94 (18-24 Mac 2018), ms 12