Mengisi kekosongan idola kanak-kanak

Tekad Budaya - Dinsman
Seorang mantan Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar menulis sebuah buku kumpulan biografi 20 orang sasterawan Kedah. Ketika dia menemui saya beberapa bulan dulu dan memberitahu siapa dia dan tujuan dia hendak menulis biografi itu, memang saya terasa pelik dan hairan. Tujuan dia hendak menyumbangkan buku itu, bersama sekumpulan buku lain, kepada sekolah-sekolah di seluruh negeri Kedah. Itu sumbangan peribadi dia sendiri. Setelah bersara, dan menyedari dia mempunyai sedikit kemampuan, dia mengambil inisiatif untuk menabur kebajikan tersebut kepada anak-anak sekolah di seluruh negerinya. Dan dia telahpun melakukan itu sejak beberapa bulan lalu. Ketika pertama kali bertemu dan melihat saya agak hairan kenapa seorang doktor veterinar yang setelah bersara memilih untuk membuat penyelidikan, bertemu penulis dan sasterawan, untuk menulis buku kumpulan biografi sasterawan, dia menjelaskan bahawa dia bukan sahaja menulis mengenai sasterawan tetapi juga mengenai tokoh-tokoh di bidang perubatan, kejuruteraan, tokoh-tokoh ilmuwan dan tokoh-tokoh dalam pelbagai bidang lagi. Itulah Datuk Dr Mohamad Azmie Zakaria atau nama pena dan nama fesbuknya M.Z. Azmie. Buku pertamanya yang diberi judul “Sasterawan Darul Aman” telahpun terbit dan telahpun disumbangkan ke sekolah-sekolah. Terdapat lebih 700 buah sekolah di negeri Kedah.
Penulis buku Sasterawan Darul Aman”, Datuk Dr Mohamad Azmie Zakaria
Penulis buku Sasterawan Darul Aman”,
Datuk Dr Mohamad Azmie Zakaria
Dalam penulisannya dia memang amat mementingkan nama-nama sekolah tempat tokoh-tokoh pilihannya itu belajar, terutamanya di peringkat paling awal. Dia mahu supaya pelajar-pelajar dapat berbangga mengetahui yang sekolahnya adalah sekolah tempat Shahnon Ahmad atau Azizi Hj Abdullah pernah belajar sewaktu mereka kanak-kanak sepertinya dulu. Dan dalam masa yang sama dia mahu supaya pelajar-pelajar di sekolah rendah lagi sudah mempunyai idola yang terdiri daripada tokoh-tokoh penting negara – sasterawan, jurutera, doktor, profesor dan sebagainya. Apatah lagi kalau tokoh penting negara itu pernah menimba ilmu di sekolah yang sama dengannya di suatu masa dulu. “Maka tidaklah lagi Mat Rempit yang menjadi idola mereka,” kata M.Z.Azmie ketika dia menyerahkan senaskah buku “Sasterawan Darul Aman” itu kepada saya, 7 Februari. Azmie sendiri telah pergi ke banyak sekolah, bukan semata-mata hendak menyumbangkan buku tetapi untuk mengutip maklumat siapakah nama-nama penting yang pernah belajar di sekolah-sekolah berkenaan. Namun agak dikesalinya kebanyakan guru yang ditanya tidak dapat memberikan maklumat yang diperlukannya. Mereka memberi alasan baru lagi berkhidmat di sekolah berkenaan, dan tidak tahu siapa-siapa tokoh penting yang pernah belajar di sekolah itu. “Sepatutnya ada alumni yang memberikan maklumat begini kepada sekolah- sekolah berkenaan,” katanya. Tetapi biasanya di peringkat sekolah rendah tidak diwujudkan persatuan alumni sekolah. Yang ada biasanya di peringkat menengah dan kolej. Maka dengan adanya gerakan (saya anggap ini sebagai gerakan, walaupun yang menggerakkannya sekarang hanya individu) yang dilakukan oleh Datuk Dr Mohamad Azmie ini, saya percaya ia akan menimbulkan kesedaran di pihak sekolah, untuk melakukan sesuatu bagi meraikan tokoh-tokoh penting yang pernah mendapat ilmu di peringkat awal di sekolah mereka. Selama ini hal ini memang tidak pernah kita pedulikan pun. Siapakah yang pernah belajar di sekolah kita? Kita tak pernah ambil tahu pun. Kita tak pernah berasa penting pun untuk mengambil tahu perkara tersebut. Sedangkan misalnya kenapakah nama MCKK itu menjadi begitu masyhur dan disebut-sebut orang? Kerana ramai tokoh-tokoh penting negara pernah belajar di situ! Itu dulu. Generasi yang dulu. Sekarang tidak lagi begitu. M.Z.Azmie telah membuktikannya. Sehingga sekarang dia telah berjaya mengumpul lebih daripada 500 nama tokoh-tokoh penting yang telah mencipta kejayaan dalam pelbagai bidang kerjaya, di seluruh negeri Kedah. Dan dia masih lagi mencari nama-nama penting ini, untuk diterbitkan dalam siri buku-buku orang ternama, yang masing-masing pernah belajar di sekolah-sekolah tertentu di negeri Kedah. Secara tidak ketara M.Z.Azmie sebenarnya sedang mendidik dan menanam satu budaya baru di kalangan sekolah-sekolah. Dia memperkenalkan kepada guru-guru dan pelajar-pelajar akan siapakah orang-orang penting dalam masyarakat kita. Mereka terdiri daripada sasterawan, jurutera, doktor, ilmuwan, saintis, peguam, pentadbir dan sebagainya. Dan M.Z.Azmie menunjukkan dengan bukti-bukti kejayaan dan kepentingan tokoh-tokoh tersebut, di dalam siri buku-bukunya. Dia membuka horizon pengetahuan dan pemahaman pelajar-pelajar dan juga guru-guru terhadap kehidupan masyarakat di sekeliling persekolahan mereka. Dan saya melihat sesuatu yang sangat menarik di sini, dalam konteks fahaman Tekad Budaya; iaitu mengenai siapakah tokoh-tokoh penting dalam kehidupan masyarakat kita sebenarnya. Ia bukan sahaja tokoh-tokoh politik dan tokohtokoh hiburan, tetapi ramai lagi, termasuk tokoh-tokoh sastera, budaya, ilmuwan dan profesional. Demikianlah saya melihat buku bersiri yang diusahakan oleh M.Z.Azmie ini, dengan siri pertamanya mengenai sasterawan dan akan diikuti dengan tokoh-tokoh di bidang perubatan, dan selepas itu kejuruteraan, akan mencetuskan suatu kesedaran budaya baru di kalangan para pendidik kita. Dan M.Z.Azmie melakukan semua ini bersendirian, hinggalah sekarang setelah dia berjaya menubuhkan suatu pusat yang dinamakannya Pusat Ilmuwan Darulaman, barulah dia membuka ruang untuk orang ramai yang berminat membuat sumbangan atau menyertainya. Ada pun 20 orang sasterawan yang dipilihnya mengisi buku pertamanya itu ialah Abdul Halim R, Abdullah Hussain, Affifudin Omar, Affrini Adham, Amelia Hashim, A.Rahmad, Azizi Hj Abdullah, Dinsman, Hasan Baseri Budiman, Ismail Restu, Jamaluddin D, Jihaty Abadi, Muhamad Lutfi Ishak, Osman Ayob, Puzi Hadi, Rosmini Shaari, Shaari Isa, Shahnon Ahmad, Syed Mahadzir Syed Ibrahim dan Zurinah Hassan. Sumber: Akhbar Amanah, Edisi 89 (11-17 Februari 2018), ms 20
0 Shares