Telaah hujah ahli falsafah

Dr Alinor
Khabar KampusOleh DR MOHAMMAD ALINOR ABDUL KADIR Kepada manusia yang berminat dengan falsafah, malah yang mahu mendekatinya dengan serius, sama ada yang sudah mendapat latihan di universiti atau pun belum, caranya yang paling berkesan adalah dengan mentelaah auto/bio-grafi intelektual seseorang ahli falsafah, seperti Konfusius, Aristotle, Dharmakirti, Ibn Sina, Leibniz, Wittgenstein, Popper, Heidegger, dan lain-lain. Seseorang ahli falsafah dalam autobiografinya akan menjelaskan dengan baik tetapi ringkas/padat tentang apakah persoalan-persoalan falsafah yang menjadi minatnya menyelidik dan menulis. Namun, mungkin akan menyelindungkan kelemahannya dalam hal-hal tertentu. Inilah tugas yang boleh ditampung oleh seorang perakam biografi intelektual, iaitu meneliti semua maklumat tentang seseorang ahli falsafah, kekuatan dan kelemahannya. Malah, seseorang ahli falsafah akan menjelaskan kenapakah persoalan tersebut menjadi minatnya, apakah peristiwa yang mencetuskan minatnya, dan bagaimanakah beliau berusaha memahami persoalan tersebut. Namun, saya mahu memberikan nasihat bahawa jika seseorang mahu masuk dalam bidang falsafah, makanya sebaiknyalah dia masuk menerusi bidang ilmu yang beliau agak mahir. Contohnya, seseorang yang mengkhusus dalam bidang ekonomi, eloklah baginya meneliti auto/bio-grafi seorang ahli falsafah ekonomi seperti Ibn Khaldun, Marx, Keynes, Adam Smith, Weber, dan lain-lain. Kalau seseorang itu mengkhusus dalam matematik, eloklah baginya mula meneliti auto/biografi ahli-ahli falsafah matematik seperti Leibniz, Frege, Wittgenstein, Russell dan lain-lain. Jika seseorang mengkhusus dalam bidang kejuruteraan, eloklah beliau ini mentelaah auto/ bio-grafi seorang ahli falsafah teknologi, seperti Heidegger, Spengler, dan lain-lain. Begitu jugalah bidang-bidang yang lainnya. Linguistik, telaahlah Chomsky, Austin, Derrida, dan lain-lain. Kenapakah eloknya sebegini? Dalam pengalaman saya sehari-hari kekadangnya menjawab persoalan-persoalan kefalsafahan, atau persoalan-persoalan awal kefalsafahan, saya kerap ditanyakan soalan-soalan sebegini. Contohnya saya ditanyakan, “jika saya minat bidang falsafah, apakah buku yang patut mulanya saya baca?”. Saya akan menjawab soalan ini dengan menanyakan kembali apakah bidang yang sipenanya ini mengkhusus. Selalunya jawapan yang saya terima adalah merisaukan. Kerapkali saya akan mendapat jawapan bahawa seseorang yang minat bidang falsafah, terutamanya dalam kalangan yang masih menuntut di universiti, mahu masuk ke bidang falsafah ini bersebabkan beliau sudah tidak minat dengan bidang pengajian beliau. Lalunya, cara yang saya tunjukkan ini akan bermasalah, sebab beliau ini sudah mahu berpindah bidang. Walau bagaimanapun saya nasihatkan, kelihatannya minat falsafah itu seperti dijadikan sebagai alasan untuk bertukar bidang. Saya bukanlah mengatakan bahawa hal ini tidak boleh, namun saya mengatakan bahawa seseorang yang mahu mempelajari falsafah, fikirannya terhadap bidangnya mestilah jelas dahulu, kemudian barulah beliau boleh meneliti falsafah bidangnya. Kalau fikirannya berkecamuk seperti itu, berkecamuk sebab mahu bertukar bidang, takkanlah dia mampu menggarap falsafah tatkala itu. Saya selalunya akan menasihatkan agar kekal dalam bidang asal ataupun usahakan bertukar bidang secepat mungkin, kemudian barulah mula mentelaah auto/bio-grafi ahli-ahli falsafah bidangnya. Kenapakah penting sangat duduk dalam satu-satu bidang khusus dan mula mentelaah auto/bio-grafi ahli-ahli falsafah dalam bidang ini? Berbanding terjun mentelaah auto/bio-grafi ahli-ahli falsafah bidang yang lain? Sebabnya adalah, jika kita mentelaah auto/bio-grafi seseorang ahli falsafah yang satu bidang dengan kita, ahli falsafah ini sebenarnya pernah duduk dalam bidang kita, dan ini akan memandu kita untuk berfikir sepertinya berfikir untuk masuk ke falsafah bidang berkenaan. Apa yang diceritakannya adalah sebenarnya sesuatu yang kita alami, dan rasional kenapakah sesuatu itu dipertanyakannya secara falsafah, adalah rasional yang sedang kita perhatikan di hadapan kita. Pengalaman saya sekitar 1990-1994 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) adalah tatkala mentelaah biografi Wittgenstein dan Brouwer, dan autobiografi Russell, yang segalanya yang saya telaah daripada mereka adalah hal-hal yang saya perhatikan dalam pengajian saya. Tatkala saya Tahun 3 dan 4, 1990-1991 mengkhusus dalam bidang matematik di UKM, saya mentelaah biografi Wittgenstein, dan beliau mengatakan bahawa matematik tulen sebenarnya adalah manipulasi mantik/logik. Sekali imbas, saya soroti semula apa yang saya pelajari sepanjang pengajian di UKM, 1988-1990, saya mendapati memanglah matematik adalah manipulasi mantik/ logik. Namun, saya tidak puas hati sebab Prof Shaharir yang memberikan kuliah Sejarah dan Falsafah Sains, dan kuliah Falsafah Sains Matematik, mengatakan bahawa wujud sebanyak-banyaknya tujuh aliran dalam falsafah matematik. Saya dah jumpa satu dengan mata kepala sendiri, iaitu aliran Mantikisme/Logikisme yang berawalan dari Frege-Russell. Pembacaan saya seterusnya mengarahkan saya kepada dua aliran yang lain, iaitu Intuisisme Brouwer-Heyting (yang merupakan inspirasi kepada Wittgenstein untuk mengkritik Frege-Russell) dan aliran Formalisme Hilbert. Inilah yang saya maksudkan betapa pentingnya mentelaah auto/bio-grafi ahli-ahli falsafah yang berada dalam bidang yang sama dengan kita. Ringkasnya, apa yang ahli falsafah ini perhatikan adalah juga apa yang kita perhatikan kemudiannya. Penulis merupakan Penyelidik di Akademi Sains Islam Malaysia (ASASI). Untuk mendapatkan kertas kerja penuh berkenaan perbincangan di atas boleh hubungi [email protected]. Sumber: Akhbar Amanah (Edisi 90, 18-24 Februari 2018, ms 19)
0 Shares